KUALA TERENGGANU: Kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa Kabinet bagi merangka strategi dan pelan tindakan dalam menangani isu bekalan gula di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, jawatankuasa Kabinet itu yang melibatkan empat kementerian dalam menangani isu bekalan gula di pasaran.
Menurutnya, empat kementerian itu melibatkan Kementerian KPDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Ekonomi.
“Kabinet yang bermesyuarat pada Rabu lepas bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa Kabinet mengenai hala tuju bekalan gula dalam negara bagi memastikan bekalan mencukupi.
“Kita mengambil tindakan yang lebih proaktif berdasarkan kepada kenaikan harga gula mentah dan bahan api iaitu gas asli yang tidak dapat dielakkan.
“Oleh itu, kerajaan akan memastikan ada pelan strategik bagi memastikan tidak berlakunya bekalan gula terganggu dan tidak berlaku krisis,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini
Beliau memberitahu, pegawai di kementerian terlibat telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa khas bagi merangka pelan strategik untuk memastikan bekalan bekalan gula sentiasa mencukupi dan tidak berlaku terganggu.
“Pelan strategik bekalan gula itu dijangka dibentangkan jawatankuasa tersebut kepada Kabinet dalam tempoh sebulan,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menambah, kementeriannya juga mengadakan sesi libat urus dengan syarikat-syarikat pengeluar gula iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR) untuk mendengar isu-isu yang dihadapi syarikat terbabit.
“Sesi libat urus itu diadakan untuk memastikan gangguan bekalan gula yang berlaku di Kelantan dan Terengganu pada Aidilfitri lalu tidak berulang lagi selepas ini,” katanya. – UTUSAN