Jana pendapatan pasif dengan pasaran rumah sewa - Utusan Malaysia

Jana pendapatan pasif dengan pasaran rumah sewa

Walaupun menerima gaji kompetitif, penduduk bandar terpaksa berhadapan kos sara hidup tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIDAKTENTUAN ekonomi, inflasi dan kenaikan kadar faedah mendorong golongan pembeli rumah terutamanya yang berdepan kekangan kewangan, memilih untuk menyewa.

Menurut Laporan Pasaran Hartanah Malaysia suku pertama 2023 PropertyGuru Malaysia, Indeks Permintaan Sewa bagi keseluruhan 2022 naik sebanyak 32.9 peratus dan Indeks Harga Sewa meningkat sebanyak 11.5 peratus.

Penyenaraian sewa di laman web PropertyGuru.com.my juga meningkat sebanyak 19.6 peratus, berikutan pemilik hartanah mencari sumber pendapatan alternatif untuk mengimbangi inflasi.

Laman web hartanah tersebut berpendapat, melainkan ekonomi Malaysia mengalami kelembapan yang ketara, permintaan sewa berkemungkinan kekal stabil atau malah meningkat pada 2023.

Mengulas senario itu, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (Peham), Sr. Ishak Ismail berkata, pasaran sewa sudah tentu menjadi pelaburan yang baik kepada pemilik hartanah kerana boleh menjadi pendapatan pasif kepada mereka.

Katanya, selain dapat memiliki aset hartanah, pemilik juga dapat menampung kos pembiayaan bulanan di bank serta mendapat lebihan aliran tunai, jika dapat menyewakan rumah lebih tinggi daripada kos pembiayaan pinjaman.

“Apatah lagi bagi pemilik yang sudah melunaskan bayaran hutang di bank. Ia menjadi seperti gaji bulanan yang tetap. Sebab itulah ramai yang berkemampuan mencari peluang untuk menjadikan rumah sebagai aset untuk disewakan.

“Kebaikan memiliki hartanah ini adalah ia boleh menjadi aset yang menjana pendapatan pasif. Malahan, dengan pemilihan lokasi yang strategik, rumah itu juga boleh dijual pada harga yang lebih tinggi pada masa depan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengarah Urusan IM Global Property Consultants Sdn. Bhd. berkata, beberapa faktor yang perlu diambil kira untuk memiliki hartanah yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran sewa adalah lokasi yang strategik.

Jelasnya, ini seperti berhampiran kemudahan awam termasuk perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT), berdekatan pusat perniagaan, pusat membeli-belah, masjid, sekolah dan sebagainya.

“Kenalpasti kawasan ‘hotspot’ yang merekodkan sewaan yang tinggi. Contoh kawasan yang mendapat permintaan tinggi di Kuala Lumpur seperti Desa Petaling, Kuchai Lama, Titiwangsa dan Segambut,” ujarnya.

Sementara itu, Peguam Hartanah dari Tetuan Nazri Azmi Islinda, Datuk Nazri Mustafa berkata, pembelian hartanah dengan tujuan untuk mengutip sewa sebagai pelaburan bukanlah satu aktiviti baharu.

Menurutnya, mereka yang berkemampuan akan membeli hartanah dan disewakan kepada mereka yang belum ada kemampuan untuk membelinya atas pelbagai faktor.

“Ia boleh menjadi satu pelaburan yang baik kerana wang hasil sewaan boleh menjadi sebagai pendapatan atau digunakan untuk membayar kembali hutang bank yang diambil untuk membeli hartanah tersebut.

“Tetapi dalam pembangunan perumahan yang pesat, ia juga boleh menjadi satu beban kewangan kepada pemilik. Ada pemilik yang terpaksa membayar jumlah ansuran yang lebih tinggi dari jumlah sewa kerana terlalu banyak unit rumah yang dibina di kawasan yang sama dan rumah yang dibeli pada harga terlalu tinggi.

“Bagaimanapun, jika diurus dan dirancang dengan betul, ia adalah satu pelaburan jangka panjang yang baik,” jelasnya.

Tambahnya, ramai memilih untuk menyewa di kawasan bandar berbanding tinggal di pinggir bandar kerana tiga perkara utama iaitu kos perjalanan pergi balik dari pejabat ke rumah, penjimatan masa perjalanan dan untuk menikmati gaya hidup setelah selesai waktu kerja.

“Selain itu, tempat tinggal itu mungkin berdekatan kompleks beli-belah, restoran, tempat makan dan pelbagai kemudahan lagi. Alasan lain ialah untuk mengelak dari keletihan berulang alik dan masa tersebut boleh digunakan untuk perkara yang lebih produktif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya