Isu missing link: kos tinggi, bukan jalan kritikal

Isu missing link: kos tinggi, bukan jalan kritikal

M. ANBARASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERI KEMBANGAN: Isu jalan penghubung atau missing link di Bandar Putra Permai di sini yang terbengkalai lebih 15 tahun lalu bakal dibina pemaju baharu yang bakal membangunkan kawasan berdekatan tidak lama lagi.

Itu jaminan disuarakan oleh Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), M. Anbarasan sebagai mengambil peduli permasalahan penduduk di sini dengan meletakkan syarat kepada pemaju terbabit untuk membina jalan berkenaan terlebih dahulu sebelum membangunkan projek mereka. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jalan missing link itu adalah melibatkan antara Taman Lestari Putra (LEP) ke Taman Desaminium dan dari bulatan Taman Equine ke ke persimpangan LEP yang akan dibina pada masa akan datang. 

Menurut beliau, pihak MBSJ dan Kerajaan Negeri Selangor tidak mampu untuk mengambil alih pembinaan jalan berkenaan memandangkan kos adalah tinggi sekitar RM30 juta bagi missing link di LEP ke Taman Desaminium berikutan keadaan tanah di situ mempunyai cerun yang dalam. 

“Jalan penghubung ini bukan kritikal untuk membolehkan MBSJ beri keutamaan pembinaannya kerana kos terlalu tinggi. Kalau ini satu-satunya jalan yang ada untuk anak-anak ke sekolah dan berlaku tanah runtuh atau sebagainya, maka, itu boleh kita beri keutamaan.

“Jadi, kita tunggu sahaja pemaju membina jalan ini kerana kita sudah syaratkan kepada pemaju dan mereka akan membangunkan projek mereka dalam setahun dua ini. Ini adalah komitmen saya untuk pastikan jalan ini akan dibina,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Berhubung missing link antara Taman Equine ke Persiaran LEP pula, kata beliau, ia juga akan dibina oleh pemaju bagi projek Rumah Selangorku yang akan disiapkan dalam masa terdekat. 

Katanya, perkara itu sudah disyaratkan kepada pemaju untuk membina jalan penghubung terlebih dahulu dan mereka tidak boleh cuba ‘lari’ untuk tidak berbuat demikian sebelum memulakan pembinaan projek rumah mampu milik itu.

“Bagi missing link Persiaran Saujana Puchong ke LEP pula, ia tidak ada langsung dalam perancangan  MBSJ dan kerajaan negeri kerana ia melibatkan perkampungan orang asli bersebelahan hutan simpan.

“Ia juga melibatkan kos terlalu tinggi kerana hutan besar dan melibatkan jarak jauh. Projek ini bukan senang nak buat, pihak PBT kena ada dana banyak tetapi kita perlu utamakan yang penting dahulu,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan lebih 60,000 penduduk sekitar Bandar Putra Permai di sini terpaksa menghadap kesesakan lalu lintas saban hari ekoran ketiadaan beberapa jalan penghubung antara taman perumahan yang terbengkalai lebih 15 tahun lalu.

Ekoran itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Dr. Siti Mariah Mahmud mengarahkan MBSJ membawa isu jalan penghubung ini kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bagi membolehkan pihak MTES membuat keputusan memberi keutamaan pembinaan jalan tersebut.

Ia berbanding terus menunggu pihak pemaju mengambil tanggungjawab itu sedangkan para penduduk di sini terus merana menghadapi kesesakan lalu lintas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya