PETALING JAYA: Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali mendedahkan pihaknya telah menerima laporan berkenaan isu gaji yang melibatkan Kelantan FC.
Tambah bekas penyerang Harimau Malaya itu, dia meminta lebih ramai pemain yang berdepan masalah sama tampil membuat laporan kepada PFAM.
Bagaimanapun Safee berkata tidak dapat mendedahkan secara terperinci berkenaan kes itu namun tindakan selanjutnya akan segera diambil.
“Memang pihak kami terima laporan berkenaan kes pemain Kelantan dan saya harap pemain-pemain lain berani ke depan untuk melaporkan supaya kita boleh mengambil tindakan atau perbincangan selanjutkan.
“Bukan kita ingin mencari kesalahan tetapi kita akan cuba menjadi solusi menyelesaikan masalah itu secara baik untuk kebaikan kedua-dua pihak sama ada pengurusan ataupun pemain.
“Kes tidak boleh didedahkan secara terperinci tetapi kita akan mengambil tindakan secepat mungkin,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Dalam pada itu, penjaga gol Kelantan FC, Farhan Abu Bakar telah berkongsi kisah sedih apabila gaji tertunggaknya tidak dibayar penuh, sebaliknya dia diminta oleh pihak pengurusan untuk memohon duit pendahuluan “advance”.
“Pada Khamis lalu nama saya tiada dalam senarai pasukan ke Kuala Terengganu untuk perlawanan Piala FA, jadi saya bergerak ke KL (Kuala Lumpur) dari Kota Bharu untuk menghantar anak dan isteri balik ke KL.
“Saya sampai di KL pada jam 8 pagi hari Jumaat. Lepas itu saya masukkan anak dalam rumah, buatkan susu dan tukar pampers. Selepas beberapa minit lepas saya keluar rumah tengok-tengok kereta dah hilang.
“Saya hubungi bank dan mereka sahkan menarik kereta saya. Selepas itu saya hubungi Boszam (pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman) untuk meminta bantuan sebab sebelum ini dia pernah cakap dan buat posting di Facebook, di mana kalau perlukan duit boleh ‘call’ saja dia.
“Bila saya call, dia cakap tak nampak saya betul ke saya ada dalam pasukan. Saya terkejut sebab saya hari-hari berlatih bersama pasukan dan banyak gambar-gambar saya diambil pihak media pasukan dimuat naik di laman sosial pasukan.
“Kemudian dalam pukul 11 malam hari Jumaat itu juga, gaji masuk tapi pengurusan bayar separuh saja untuk gaji bulan April. Gaji saya cuma RM5,500 saja sebulan, jadi mereka hanya bayar RM2,750 saja.
“Kalau nak ikutkan mana cukup untuk saya ambil balik kereta kerana saya kena bayar RM3,960 untuk ambil balik dari pihak bank. Jadi bila saya hubungi bahagian kewangan pasukan, mereka boleh pula suruh saya mohon ‘advanve’, sedang yang saya minta itu gaji saya,” katanya. -UTUSAN