PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya sudah boleh merangka strategi bagi menghadapi tiga pasukan teratas ranking 100 dunia apabila diundi dalam Kumpulan E Piala Asia 2023.
Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan yang kini berada di ranking ke-27 dunia manakala Jordan dan Bahrain masing-masing di tangga ke-84 serta ke-85.
Saingan bagi merebut gelaran ‘Raja Asia’ itu akan berlangsung di Doha, Qatar dari 12 Januari hingga 10 Februari 2024.
Meskipun, skuad kendalian Kim Pan Gon berada di ranking ke-138 dunia namun ia bukan satu halangan untuk skuad Harimau Malaya memberi kejutan kepada lawannya di kejohanan tersebut.
Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007, namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah. – UTUSAN ONLINE