Dari asnaf kini mampu bayar zakat perniagaan - Utusan Malaysia

Dari asnaf kini mampu bayar zakat perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WANITA yang berasal dari Jerantut, Pahang ini pernah berdepan dugaan diberhentikan kerja kerana menderita penyakit kronik. Semua wang simpannya habis digunakan untuk rawatan menjadikannya jatuh menjadi asnaf.

Norul Huda Abdul Hadi, 45, mengidap penyakit Endometriosis Chronic iaitu penyakit kronik berkaitan dengan kesakitan yang teruk dan menjejaskan kehidupan, menyebabkannya sering keluar masuk hospital.

Graduan Diploma Sains dan Pendidikan Pengajian Islam dari Universiti Teknologi Malaysia sebelum ini pernah bekerja sebagai pengetua dan tenaga pengajar di sebuah pusat latihan untuk pelajar-pelajar dari luar negara pada 2011.

Bagaimanapun, kerana sering masuk hospital, dia akhirnya diberhentikan kerja pada 2014 dan wang simpannya juga habis bagi menanggung kos rawatan.

Enggan berpeluk tubuh sahaja, Norul Huda yang sudah jatuh menjadi asnaf, telah memohon bantuan perniagaan daripada Baitulmal dan mendapat modal sebanyak RM4,000 untuk membeli oven dan kelengkapan bagi memulakan perniagaan Famous Shukulate.

Pada peringkat awal, dia menjual ‘cookies’ atau biskut keluarannya serta mengambil tempahan laksa di rumah sahaja, namun kerana sambutan yang menggalakkan, dia kini sudah mempunyai kedai sendiri di Plaza Prima Setapak sejak 2019.

Norul Huda berkata, dia tidak malu bergelar asnaf kerana bantuan serta bimbingan daripada Baitulmal dan Pusat Pungutan Zakat membolehkannya bangkit semula, malah dapat membayar zakat perniagaan untuk membantu orang lain yang memerlukan.

Katanya, perniagaannya kini mampu mencapai pendapatan kira-kira RM200,000 setahun dan jualan pada musim Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pernah mencapai sehingga RM80,000.

“Alhamdulillah, kini saya kini mempunyai tiga orang pekerja yang bagi membantu perniagaan ini.

“Sejak 2020, kami sudah mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kini dalam usaha mendapatkan Sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan ‘nutrition’ pada produk saya.

“Saya berharap pensijilan ini boleh diperoleh dalam tahun ini supaya dapat mengembangkan lagi perniagaan dan mengeksport kuih saya ke luar negara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Norul Huda yang sudah menjalani pembedahan membuang rahim dan ovari pada 2020 akibat penyakitnya itu berkata, dia memasang cita-cita untuk membawa biskut keluarannya ke peringkat antarabangsa.

“Saya yakin biskut ini dapat diketengahkan lagi ke pasaran antarabangsa kerana kami menggunakan bahan-bahan yang premium yang menghasilkan biskut enak dan berkualiti.

“Sasaran saya adalah untuk menembusi pasaran luar negara menjelang hujung tahun ini. Antara negara sasaran adalah Arab Saudi kerana negara itu suka produk-produk daripada Malaysia,” ujarnya.

Tambahnya, produknya pernah memasuki pasaran antarabangsa sebelum ini seperti Singapura, Brunei, Amerika Syarikat dan Jepun yang dibawa masuk oleh orang perseorangan tetapi terhenti akibat Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya