KUALA LUMPUR: Langkah juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terhenti di suku akhir selepas mereka ditunjukkan jalan keluar oleh beregu muda Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin pada suku akhir Malaysia Masters di Axiata Arena, sebentar tadi.
Beregu No. 2 dunia itu tunduk kepada Leo-Daniel yang menghuni ranking kesembilan dunia 18-21, 19-21.
Kekalahan itu juga menyaksikan, beregu dari negara tetangga itu kini merapatkan jurang rekod pertemuan mereka dengan Aaron-Wooi Yik kepada 2-4.
Pada separuh akhir, Leo-Daniel bakal berdepan gandingan muda Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang mengejutkan beregu legenda The Daddies, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 23-21, 21-17 dalam perlawanan peringkat lapan terbaik.
Sementara itu, dalam satu lagi suku akhir membabitkan beregu lelaki negara, pasangan No. 8 dunia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tewas kepada gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-15, 16-21, 14-21.
Kekalahan itu menyaksikan Min Hyuk dan Seung Jae menyamakan rekod pertemuan mereka kepada 1-1 menentang Yew Sin-Ee Yi. – UTUSAN ONLINE