PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lapan individu dari beberapa syarikat berbeza kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu membabitkan tuntutan berjumlah kira-kira RM24 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah program Program Penjana Kerjaya (Penjana).
Menurut sumber, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 70 tahun itu dipercayai ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya lewat petang semalam ketika diminta hadir untuk memberikan keterangan.
Sumber berkata, syarikat-syarikat tersebut telah mengemukakan tuntutan palsu kepada Perkeso menerusi borang pengesahan pekerja yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM24 juta bagi memperoleh peruntukan di bawah Penjana.
Peruntukan itu sebagai melaksanakan program latihan sedangkan program-program tersebut tidak dilaksanakan.
Kesemua suspek dihadapkan di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi ini dan Majistret Irza Zulaikha membenarkan permohonan reman selama tiga hari terhadap enam suspek bermula hari ini sehingga 18 Mei, manakala dua lagi suspek direman empat hari sehingga Jumaat ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan. – UTUSAN