PETALING JAYA: Teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) semakin hampir dilaksanakan dalam Liga Malaysia (Liga M) apabila tiga instruktur daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengadakan bengkel dua hari di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Tiga instruktur berkenaan, Dirk Schlemmer, Michael Bailey dan Bhaveshan Moorghen menurunkan ‘ilmu’ VAR kepada peserta bengkel yang terdiri daripada kakitangan FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), antara anggota pasukan projek VAR Liga M.
“Para peserta bengkel yang terdiri daripada kakitangan FAM dan MFL yang menganggotai pasukan projek VAR Liga Malaysia telah diberikan penerangan secara terperinci mengenai aspek-aspek yang terkandung dalam Implementation Assistance & Approval Programme (IAAP) bagi pelaksanaan teknologi VAR ini,” menurut kenyataan Facebook FAM pada Selasa.
FAM sebelum ini mengesahkan, VAR akan digunakan dalam Liga M bermula tahun ini, namun ia dilaksanakan secara berperingkat dan melibatkan perlawanan penting seperti suku akhir, separuh akhir serta final Piala FA dan Piala Malaysia.
Ia tidak dimulakan di peringkat liga kerana melibatkan kos yang tinggi, selain perlu menghantar pengadil untuk menjalani latihan VAR ini. – UTUSAN ONLINE