PETALING JAYA: Sasaran pingat kontinjen negara di temasya Sukan SEA Kemboja perlu dibuat dengan lebih berani dan dalam masa yang sama mencabar atlet agar dapat memenuhi target yang telah ditetapkan.
Penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, level Malaysia sepatutnya berada di kedudukan tiga teratas senarai pungutan pingat Sukan SEA dan untuk ke tahap itu sasaran lebih 50 pingat emas perlu diletakkan.
“Berani atau tidak kita kena cabar pihak pengurusan kontinjen ke Sukan SEA termasuk ketua kontinjen, pegawai, jurulatih dan atlet itu sendiri. Kalau tidak capai, hampir-hampir pun merupakan pencapaian yang baik.
“Letak sasaran yang lebih tinggi ada lebih baik berbanding kita letak sasaran dan kita capai namun, kedudukan keseluruhan Malaysia masih berada di kedudukan keenam atau kelima sahaja dan jauh ketinggalan.
“Ini (Sukan SEA) sukan paling lemah kedudukannya di Asia Tenggara, kita sebagai antara kuasa besar di rantau ini sepatutnya berada di kedudukan yang lebih baik dan berada sekurang-kurangnya tiga teratas.
“Sasaran 50 pingat emas dan ke atas adalah relevan dan lebih mencabar. Kalau kita sekali lagi letak sasaran 30 lebih pingat emas memang kedudukan keseluruhan tidak ke mana pasti tempat kelima dan keenam lagi.
“Saya juga mahu minta agar jangan berada di takuk lama dengan meletakkan sasaran 30 hingga 35 emas tetapi akhirnya kita berjaya capai lebih dua atau empat emas dan kita umum itu pencapaian cemerlang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Pekan berkat, bagi meraih lebih banyak pingat emas di temasya dwitahunan itu, sudah tiba masanya untuk Malaysia memberi tumpuan kepada acara-acara lubuk emas seperti olahraga dan renang.
“Tengok apa yang berlaku di Vietnam tahun lalu, kita gagal kuasai acara ini (lubuk emas) yang menyebabkan pungutan pingat kita merudum. Lihat Vietnam mereka menguasai olahraga manakala Singapura menguasai bagi acara renang,” katanya.
Sasaran pingat buat kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh akan diumumkan pada 30 April ini sempena dengan majlis penyerahan bendera yang akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Pada edisi terakhir di Hanoi tahun lalu, Malaysia melepasi sasaran 36 pingat emas dengan mengakhiri saingan di kedudukan keenam keseluruhan apabila mengutip 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa namun, itu pencapaian terburuk kontinjen negara sejak 1983.
Ketika itu, wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia selama dua tahun dijadikan salah satu punca kemerosotan prestasi atlet negara yang menyaksikan mereka tidak dapat menyertai kejohanan di luar negara selain kekangan untuk menjalani latihan sebagai persiapan.
Sukan terjun menjadi penyumbang terbanyak emas kontinjen negara apabila memenangi lapan emas diikuti olahraga lima emas manakala karate dan gimnastik masing-masing membawa pulang empat emas.-UTUSAN