Sri Pahang, Terengganu jadi destinasi Safawi Rasid

Sri Pahang, Terengganu jadi destinasi Safawi Rasid

Penyerang Ratchaburi, Safawi Rasid-(FOTO: IHSAN Ratchaburi FC)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Safawi Rasid dijangka pulang kembali ke Malaysia pada Jun ini, dengan dua pasukan iaitu Sri Pahang atau Terengganu bakal menjadi pasukan baharunya.

Pemain sayap berusia 26 tahun itu, kini dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) selama semusim bersama kelab Ratchaburi di Liga utama Thailand pada Januari lalu.

Keputusan dibuat juara sembilan kali berturut-turut Liga Super, bagi memenuhi permintaan Safawi sendiri bagi mendapatkan minit permainan selepas kerap memanaskan bangku simpanan.

Ia akan menjadi kepulangan kedua Safawi selepas kali pertama berkelana ke luar negara untuk beraksi di Liga Premier Portugal bersama Portimonense SC pada awal Oktober 2020 lalu dan hanya bertahan selama tiga bulan apabila gagal mendapat tempat dalam skuad utama.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Safawi ada meluahkan rasa tidak selesa di sana namun skuad Harimau Selatan masih belum membuat keputusan untuk menerimanya semula atau sebaliknya.

“Safawi ada berhubung dengan saya dan saya rasa dia tidak begitu selesa di sana (Thailand). Kita tengok macam mana kerana yang nak pergi ‘loan’ ini bukan saya yang hantar, dia yang nak pergi ‘loan’. Kami hanya beri kerjasama di mana dia kata mahu mendapatkan lebih minit permainan.

“Buat masa ini belum ada kata putus lagi (sama ada bawa pulang). Tak tahu dia (Safawi) nak balik atau tidak, tetapi saya tahu dia kurang selesa di sana.

“Adalah ura-ura yang mengatakan kalau boleh nak balik sini (JDT). Kita tengok dulu, saya pun belum ada kata putus dan belum membuat keputusan,” kata Tunku Ismail ketika ditemui warga media sukan pada majlis berbuka puasa bersama Tunku Ismail di Johor Bharu.

Selepas tiga bulan berada di sana, Safawi sudah membuat sembilan kemunculan di Liga Thailand, malah turut meledak satu gol ketika membantu Ratchaburi menewaskan Chonburi 2-1 dalam saingan utama liga negara terbabit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya