Seratus lonjak nama Sharul Kamal di Netflix - Utusan Malaysia

Seratus lonjak nama Sharul Kamal di Netflix

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REZEKINYA dalam bidang nyanyian mungkin tidak berapa menyerlah seperti rakan seangkatan lain, Sufi dan Syamel, alumni Akademi Fantasia (AF) 2015.

Sejak bergraduasi daripada program realiti itu, Sharul Kamal, 26, mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan dengan ditawarkan sebagai pelakon pembantu menerusi drama dan telefilem.

Tujuh tahun juga tempoh diambil untuk membina nama dalam industri seni. Tahun lalu, pemilik nama lengkap Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman ditawarkan memegang watak utama sebagai Hafiz dalam filem Seratus.

Filem yang ditayangkan di pawagam Oktober lalu juga seperti kurang menyerlah dek lambakan persaingan dengan filem Melayu, apatah lagi penangan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mencetuskan fenomena.

Namun, rezeki tidak pernah salah alamat. Sejak filem genre romantic-thriller arahan Feroz Kader itu ditayangkan di Netflix, 3 Mac lalu, tidak semena-mena ia melonjak ke tangga pertama naskhah yang paling banyak ditonton rakyat Malaysia.

“Selepas masuk Netflix, ramai pengarah lain tawarkan lakonan. Saya pun tak pernah jangka filem itu akan dapat nombor satu dalam carta penstriman itu.

“Sehingga kini, masih ada penonton yang akan tag nama saya di Instagram,” katanya.

Mengulas pembabitan dalam dunia lakonan, anak jati Negeri Sembilan ini tidak pernah menyangka akan menerima tawaran sebagai pelakon utama.

Pada mulanya, dia hanya ditawarkan watak kecil untuk filem yang membawa 99 pelakon terkenal di negara ini seperti Bront Palarae, Fauzi Nawawi, Beto Kusyairy dan Datuk Awie.

“Sebelum ini, sudah empat telefilem saya di bawah arahan Feroz. Gementar juga dia beri watak utama sebab semua nama besar terlibat walaupun sekadar cameo.

“Saya rasa sangat kerdil bila tengok senarai nama pelakon dan seperti tidak percaya pengarah memilih saya sebagai teraju utama,” katanya.

MASIH MENYANYI

Walaupun sibuk dengan lakonan, Sharul sama sekali tidak akan meninggalkan nyanyian yang merupakan minatnya sejak kecil kerana bidang itu turut membina karier seninya.

“Masa keluar AF dahulu, memang ada rasa kecewa sebab lebih banyak rezeki berlakon. Tetapi sekarang sudah jatuh cinta sebab lakonan membantu saya bercakap depan kamera dan persembahan ketika nyanyian.

“Kalau dahulu, masa mula-mula berlakon saya tak baca skrip sebab ingat senang dan boleh buat. Sebab itu, bila kita tidak ikhlas ia tak menjadi. Namun, bila kita sudah mendalami dan memahami, lakonan mesti baca skrip. Kalau 20 episod, maka 20 skrip perlu dibaca,” jelasnya.

Seratus mengisahkan tentang pemuda, Hafiz yang mahu menyelamatkan ibunya yang diculik. Satu-satunya panduan yang boleh membantu menyelamatkan ibunya adalah sekeping wang RM100 yang ditinggalkan arwah bapanya.

Filem ini turut menggunakan suara Sharul sebagai runut bunyi lagu berjudul Bunga Terindah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya