PETALING JAYA: Hasrat Selangor FC merobohkan kubu kuat Sabah FC di Stadium Likas tidak kesampaian apabila tewas 2-1 pada aksi Liga Super, sebentar tadi.
Beraksi di depan penyokong sendiri, skuad “The Rhinos” terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Saddil Ramdani pada minit ke-24.
Begitupun, kelebihan itu dipadam pasukan pelawat pada minit ke-51 menerusi rembatan kencang Faisal Halim.
Tersentak dengan jaringan itu, Sabah mengatur serangan dan memperolehi sepakan bola mati pada minit ke-64 yang disempurnakan dengan baik oleh Baddrol Bakhtiar untuk gol kemenangan.
Aksi kedua-dua pasukan berbalas serangan memberi keterujaan kepada penyokong yang hadir ke stadium.
Kemenangan itu membolehkan Sabah menambah tiga mata dan naik ke tangga ketiga Liga Super manakala ia merencat momentum kemenangan anak buah Tan Cheng Hoe.-UTUSAN