Sektor insurans hayat terus berkembang - Utusan Malaysia

Sektor insurans hayat terus berkembang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor insurans hayat di Malaysia mencatatkan pertumbuhan satu angka bagi jumlah perniagaan berkuat kuasa pada 2022 walaupun berdepan cabaran berikutan negara dalam pemulihan daripada kesan berlarutan pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia Malaysia (LIAM), Loh Guat Lan berkata, jumlah premium berkuat kuasa meningkat 3.5 peratus tahun ke tahun kepada RM44.1 bilion pada 2022 daripada RM42.7 bilion tahun sebelumnya.

Katanya, jumlah yang diinsuranskan berkuat kuasa pula naik 5.3 peratus tahun ke tahun kepada RM1.9 trilion daripada RM1.8 trilion pada 2021.

“Jumlah polisi yang berkuat kuasa meningkat pada kadar minimum 0.1 peratus kepada 13.4 juta unit pada 2022.

“Sementara itu, jumlah diinsuranskan perniagaan baharu keseluruhan meningkat kepada RM497.7 bilion pada 2022, naik lapan peratus daripada RM461.1 bilion pada 2021,” katanya dalam Laporan Tahunan LIAM bagi 2022.

Bagaimanapun, beliau berkata, bilangan polisi baharu yang dikeluarkan turun sedikit sebanyak 2.1 peratus kepada 1.8 juta unit berbanding 1.9 juta unit pada 2021.

Menurutnya, jumlah premium perniagaan baharu menunjukkan penurunan sebanyak 6.4 peratus pada 2022 pada RM12 bilion berbanding RM12.8 bilion pada tahun sebelumnya.

“Industri insurans hayat mencatatkan peningkatan 12.7 peratus dalam pembayaran tuntutan berjumlah RM13.4 bilion berbanding RM11.9 bilion pada 2021.

“Peningkatan ini disebabkan terutamanya oleh tuntutan yang lebih tinggi dalam perubatan dan hilang upaya yang masing-masing meningkat sebanyak 33.7 peratus dan 20.6 peratus,” ujarnya.

Tambahnya, industri insurans sedang melalui transformasi digital, maka tenaga kerja industri perlu dilatih dalam teknologi baharu dan kemahiran digital untuk menyokong pertumbuhan industri dan perkembangan masa depan.

Jelasnya, ini termasuk menganjurkan program kemahiran semula dan peningkatan kemahiran untuk membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan.

“Untuk kekal berdaya saing, kita perlu menerima inovasi dengan mewujudkan persekitaran supaya pekerja berasa diberi kuasa untuk menguji idea baharu dan mencari penyelesaian kepada masalah.

“Dalam bergerak ke hadapan, industri perlu mengenal pasti bakat yang bersedia untuk masa depan dan membangunkan set kemahiran yang pelbagai bagi memastikan tenaga kerja industri pada masa hadapan kekal berdaya saing dan relevan dalam pasaran yang berubah dengan pantas,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN