Sedia pindah warga Malaysia dari Sudan

Sedia pindah warga Malaysia dari Sudan

PASUKAN khas Operasi Sudan bersama pelbagai agensi bermesyuarat bagi membincangan situasi terkini Sudan di Putrajaya, GAMBAR IHSAN WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Luar hanya menunggu masa bersesuaian untuk pemindahan 29 rakyat Malaysia di Sudan daripada kancah perang saudara yang meletus Sabtu lalu.

Menurut menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, usaha ini susulan pihak Wisma Putra mengaktifkan Operasi Sudan sejak bermula krisis itu bagi memastikan tahap keselamatan dan kebajikan semua warga Malaysia terpelihara.

“Pasukan khas untuk operasi ini disertai beberapa agensi sudah membuat persiapan dan perancangan rapi termasuk pemindahan rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.

Keadaan di Sudan dilaporkan masih lagi dalam keadaan tegang dengan siri pertempuran antara dua pihak bertelagah itu masih sengit terutama di kawasan strategik di Khartoum.

Pada masa sama jelasnya, Wisma Putra menjunjung kasih atas sifat keprihatinan Yang di-Pertuan Agong terhadap nasib staf kedutaan dan rakyat Malaysia terkandas di sana susulan pergolakan antara kumpulan askar kebangsaan Sudan dan pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF) berbalah dalam proses peralihan kerajaan.

Zambry berkata, perancangan bagi membawa keluar warga Malaysia agak sukar kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum ditawan RSF sedangkan terminal udara itu merupakan satu-satunya penghubung Sudan masih belum dibuka malah sejumlah pesawat awam negara asing musnah akibat dibedil.

“Wisma Putra berhubung rapat dengan beberapa negara sahabat antaranya Arab Saudi, Amerika Syarikat, China, Turkiye dan Qatar untuk proses pemindahan selain turut memohon bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu dalam tindakan tersebut,” katanya.

Kedutaan Besar Malaysia yang beroperasi sementara di kediaman duta, turut berhubung rapat dengan pasukan khas mengenai pendekatan terbaik dan selamat untuk bekalan keperluan asas khasnya makanan dan ubat-ubatan.

Setakat ini kata Zambry, semua rakyat Malaysia kekal patuh terhadap nasihat dikeluarkan pihak kedutaan supaya tetap berada di lokasi masing-masing demi keselamatan mereka.

Perkembangan di Sudan amat kompleks meliputi sengketa politik antara dua pihak dalam Majlis Peralihan Kedaulatan yang mana mereka masih lagi belum mencapai kata sepakat untuk segera menamatkan pertempuran bersenjata.

Justeru, kerajaan Malaysia berharap pemimpin kedua-dua kumpulan itu dapat mendengar gesaan masyarakat antarabangsa untuk terus menghentikan perang saudara serta-merta dan kembali ke meja perundingan untuk mencari titik persefahaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya