Rexy lega Aaron-Wooi Yik kembali dapat rentak

Rexy lega Aaron-Wooi Yik kembali dapat rentak

AARON CHIA-SOH WOOI YIK (AFP)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik di Kejohanan Badminton Asia yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelmarin tidaklah seteruk jika dibandingkan dengan tiga siri kejohanan Eropah yang disertai mereka bulan lalu.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menjelaskan beberapa perkara yang diusahakan mereka sejak beberapa minggu lalu kembali menampakkan hasil positif.

Meskipun perjalanan juara dunia itu terkandas di pusingan kedua, namun mereka tetap memberikan aksi sengit sebelum akur dengan kehebatan lawan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Terdahulu di pusingan pertama, Aaron dan Wooi Yik berjaya menumbangkan pasangan muda Indonesia, Leo Rolly Carnado-Daniel Marthin, sekaligus membalas kekalahan yang dialami di Kejohanan All England Mac lalu.

“Prestasi Aaron dan Wooi Yik tampak lebih baik daripada siri jelajah Eropah, apa yang kami usahakan di kejohanan nampak ada peningkatan, cuma semalam (kelmarin) ada beberapa keputusan dilakukan mereka di dalam gelanggang kurang cermat khususnya apabila mahu membalas semula pukulan lawan, mereka kelihatan kurang fokus.

“Set pertama mereka berasa sangat baik, tetapi set kedua mereka tidak dapat menyerap tekanan dari lawan,” jelas Rexy.

Aaron dan Wooi Yik berpeluang untuk bertemu semula dengan Lee Yang-Chi Lin dalam tempoh dua minggu lagi apabila mereka akan berentap dalam Piala Sudirman yang akan dilangsungkan di Suzhou, China pada 14 hingga 21 Mei depan.

Dalam pada itu, pengendali dari Indonesia itu turut melahirkan kerisauan terhadap kecederaan yang menimpa Tee Kai Wun ketika berdepan dengan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di pusingan kedua kelmarin.

Kai Wun yang bergandingan dengan Man Wei Chong terpaksa menarik diri di set kedua setelah mengalami kecederaan kaki.

Sebelum ini Wei Chong mengalami di bahagian buku lali yang menyaksikan mereka terpaksa menarik diri dari Terbuka Jerman dan All England pada bulan lalu.

“Dua pemain ini kerap mengalami kecederaan, jadi kita tidak nampak lagi prestasi mereka yang sebenar. Jadi perkara yang lebih penting ketika ini adalah untuk memastikan semua pihak bekerjasama, bagi membantu mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini supaya kita boleh bergerak ke depan,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya