Polis tembak kereta cuba rempuh anggota buat pemeriksaan

Polis tembak kereta cuba rempuh anggota buat pemeriksaan

WAN HASSAN WAN AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Polis terpaksa melepaskan tembakan yang terkena tayar sebuah kereta dinaiki dua lelaki bagi mempertahankan diri dalam satu operasi pencegahan jenayah narkotik di Kampung Pondok Labu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, kereta jenis Honda Civic bernombor pendaftaran Thailand itu dipercayai cuba merempuh anggota polis yang ingin membuat pemeriksaan sebelum mereka bertindak melarikan diri.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kejadian berlaku selepas pihak polis menerima maklumat berkaitan jenayah dadah di kawasan kampung berkenaan.

Katanya, ketika melakukan rondaan di kawasan terbabit anggota polis terserempak dengan sebuah kereta jenis Honda Civic yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa anggota polis ingin membuat pemeriksaan ke atas kereta berkenaan, secara tiba-tiba pemandu kereta itu bertindak agresif dengan memecut laju sehingga cuba merempuh anggota terbabit.

“Melihat tindakan kereta itu yang boleh membahayakan nyawa, anggota kita terpaksa mempertahankan diri dengan menembak tayar hadapan kereta terbabit sehingga pancit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Hassan berkata, suspek terus melarikan diri ke arah Empangan Mengkuang di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang sebelum berhenti akibat terbabas.

“Kita berjaya menahan seorang suspek iaitu pemandu kereta terbabit, manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri. Hasil pemeriksaan menjumpai satu bungkusan disyaki mengandungi dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 1.80 gram.

“Semakan ke atas suspek berusia 36 tahun itu mendapati dia mempunyai 24 rekod kesalahan lampau melibatkan kes jenayah dan dadah,” ujarnya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 kanun sama dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya