Op Selamat tumpu 37 lokasi kerap kemalangan di Perak - Utusan Malaysia

Op Selamat tumpu 37 lokasi kerap kemalangan di Perak

MOHD. Yusri Hassan Basri (empat dari kiri) pada pelancaran Program Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kontinjen Perak di Plaza Tol Ipoh Selatan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis mengenal pasti 37 lokasi yang kerap berlaku kemalangan di negeri ini dan akan diberi lebih tumpuan pada Op Selamat 20 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, 37 lokasi panas itu membabitkan empat lokasi di daerah Kampar, Muallim (3), Tapah (3), Hilir Perak (2), Sungai Siput (2), Manjung (5), Taiping (3), Ipoh (5), Batu Gajah (2) dan Gerik (8).

Katanya, sebanyak 10 lokasi hitam turut diberi perhatian melibatkan kawasan di Tapah, Ipoh, Kerian, Taiping dan Kuala Kangsar.

“Matlamat utama kita adalah untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya dan memastikan mereka mematuhi peraturan dan arahan yang dikuatkuasa.

“Pengguna jalan raya juga diingatkan agar berhati-hati semasa memandu dengan tidak melakukan kesalahan sama yang sering dilakukan termasuk memandu di garisan berkembar, memotong di garisan kecemasan dan memandu tidak mengikut kelajuan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Kontinjen Perak di Plaza Tol Ipoh Selatan di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya juga telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang akan menempatkan anggotanya untuk membantu polis melancarkan aliran trafik terutama di persimpangan jalan raya dan kawasan lampu isyarat.

Katanya, anggota Rela juga akan ditugaskan menjaga di persimpangan susur masuk dan keluar di lebuh raya.

“Seramai 79 pegawai kanan dan 476 anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Perak akan terlibat dalam penugasan sepanjang Op Selamat 20 bermula 20 hingga 28 April depan,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan statistik kemalangan Op Selamat 18 tahun lalu, penunggang motosikal menjadi penyumbang kemalangan tertinggi dengan 10 kematian daripada keseluruhan 12 kes.

“Tahun lepas sebanyak 1,723 kes kemalangan telah direkodkan. Daripada jumlah itu, 1,230 kes melibatkan pemandu kereta diikuti penunggang motosikal 186 kes dan kenderaan berat seperti bas dan lori sebanyak 45 kes,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya