MANILA: Majalah Vogue Philippines mengumumkan nenek berusia 106 tahun, Apo Whang-Od sebagai bintang muka depan majalah itu bagi keluaran April.
Langkah itu sekali gus menjadikan artis tatu dari Filipina itu sebagai orang tertua pernah muncul di hadapan majalah berkenaan.
Whang-Od juga dikenali sebagai Maria Oggay dilaporkan menyempurnakan seni tatu dengan menggunakan teknik ketukan tangan sejak dia remaja iaitu mempelajarinya dari bapa kandungnya.
Menetap di perkampungan pergunungan Buscalan, kira-kira 15 jam di utara Manila, di wilayah Kalinga, dia dianggap sebagai ‘mambabatok’ tertua di negara itu atau ahli tatu tradisional Kalinga.
Suatu masa dahulu, tatu yang diketuk dengan tangan Whang-Od hanya menggunakan batang buluh, duri dari pokok limau bali, air dan arang batu yang diperoleh oleh pahlawan pribumi Butbut.
Kini, pelawat antarabangsa mencari reka bentuk geometri tatu hasil kreativiti tangannya sendiri.
“Digembar-gemburkan sebagai ‘mambabatok’ terakhir dalam generasinya, dia mencetak simbol suku Kalinga iaitu menunjukkan kekuatan, keberanian dan kecantikan pada kulit beribu-ribu orang yang melakukan ziarah ke Buscalan,” kata Vogue Philippines dalam satu catatan dalam media sosial. – CNN