Nana Sheme gemuruh pakaikan sampin suami - Utusan Malaysia

Nana Sheme gemuruh pakaikan sampin suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri tahun ini berbeza buat penyanyi lagu Hantu Atau Buaya, Nana Sheme yang pulang menyambut Syawal di kampung halaman sebagai isteri kepada produser muzik, Zikri Zakaria.

Kata Nana, dia tidak dapat menyembunyikan rasa teruja dan gemuruh kerana menyambut lebaran dalam suasana berlainan.

“Sebelum berkahwin, tanggungjawab saya adalah memasangkan sampin baju Melayu untuk ayah dan adik setiap kali menyambut Aidilfitri.

“Tahun ini berlainan, kerana saya kena pakaikan sampin untuk suami selain tidak lagi menerima duit raya daripada ibu ayah kerana sudah bergelar isteri orang,” kongsinya.

Nana sah bergelar isteri Zikri, Oktober tahun lalu, selepas disatukan dalam majlis di Kuching.

Menceritakan pengalaman berhari raya di Sarawak, Nana tidak menafikan wujud sedikit kelainan berbanding sambutan di semenanjung.

Selain amalan memakai baju tradisional Melayu, juadah juga sedikit berbeza setiap kali menjelang Aidilfitri

“Selama sebulan, kami lengkap berbaju Melayu bagi lelaki dan kurung untuk perempuan. Jadi, tahun ini suami beli baju Melayu lebih sepasang.

“Acara rumah terbuka rancak diadakan selama sebulan. Pergi kerja pun pakai baju Melayu atau kurung.

“Juadah Hari Raya juga sedikit berlainan kerana latar belakang keluarga yang ada campuran Iban. Ibu akan sediakan ayam pansuh yang dimasak dalam buluh untuk disajikan,” katanya yang akan pulang ke Kuching bersama suami untuk berhari raya selama seminggu.

SYUKUR MASIH DIINGATI

Disoal kerjaya nyanyian, Nana memaklumkan masih aktif menyanyi dan tidak pernah melangkah keluar daripada industri seni.

Malah katanya, sebelum ini pernah tampil dengan beberapa lagu, bagaimanapun kurang menjadi disebabkan faktor tertentu.

“Saya ada keluarkan sebuah lagu Hari Raya tahun lalu, tetapi tidak mendapat sambutan kerana tiada publisiti.

“Begitu juga lagu terakhir yang saya keluarkan adalah pada tahun 2020, juga tidak berapa mendapat sambutan.

“Mungkin tiada rezeki kerana lagu tersebut diterbitkan dalam negara berdepan fasa perintah kawalan pergerakan,” kongsinya.

Namun, kata Nana dia tetap gembira kerana tidak dilupakan dan masih dihargai peminat.

“Saya bersyukur kerana masih ada orang yang menghargai kewujudan saya dalam industri.

“Bukan mudah untuk konsisten sebagai penyanyi. Tapi saya tak nak tarik diri, mahu terus kembangkan kerjaya nyanyian saya.

“Saya masih ada dalam industri. Saya harap orang tidak salah sangka, ingat saya sudah berhenti menyanyi,” jelasnya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya