TAIPING: Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembah permohonan memberi pertimbangan pengampunan diraja kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibuat demi membawa suara akar umbi parti.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ramai ahli dan penyokong UMNO yang mahu parti membuat permohonan pengampunan diraja terhadap Najib selepas bekas perdana menteri itu gagal dalam permohonan untuk kebenaran menyemak semula kes SRC International selepas ditolak oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya dengan keputusan majoriti 4-1, baru-baru ini.
Katanya, ramai ahli dan penyokong UMNO yang menghantar surat dan mesej dalam aplikasi WhatsApp dan merungut mengatakan UMNO tidak membantu Najib.
“Ramai yang complaint kata seolah-olah UMNO tidak berbuat apa-apa dalam membantu keluarga Najib bagi mendapatkan pengampunan diraja.
“Oleh kerana itu, Majlis Tertinggi UMNO telah mesyuarat dan memutuskan untuk mempersembahkan warkah rayuan kepada Seri Paduka Baginda agar dapat memberi pertimbangan pengampunan penuh sebagaimana kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Tindakan ini bukan bertujuan mendesak apatah lagi menghasut,” katanya kepada pemberita pada Program Bantuan Meriah Beraya Sejahtera Bersama Kerajaan Negeri Perak Sempena Aidilfitri di Pasaraya Hari-Hari Kamunting di sini hari ini.
Saarani yang juga Menteri Besar berkata, UMNO bersimpati dengan Najib selepas gagal dalam permohonan untuk kebenaran menyemak semula kes SRC International ditolak oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya dan kini menjalani hukuman penjara.
Menurutnya, namun perlu difahami mengikut undang-undang peluang terakhir Najib ialah mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong akan membuat keputusan berasaskan kepada permohonan daripada keluarga atau pun orang-orang yang terlibat.
“Sekiranya UMNO tidak membuat apa-apa, maka UMNO akan digambarkan tidak bersimpati terhadap keluarga Najib dan membiarkan perkara itu berlalu begitu sahaja.
“Sebab itu semalam kita putuskan dalam MKT kita juga turut mempunyai peranan bagi menunjukkan kepada Yang di-Pertuan Agong iaitu permohonan daripada keluarga dan peguam Najib disokong kuat oleh UMNO, ” katanya.
Menurut Saarani, parti akan berusaha memohon pengampunan mengikut Perlembagaan jika dibolehkan dan tidak akan berputus asa.
“Selagi ada ruang lingkup undang-undang membenarkannya maka kita tetap akan mengusahakannya,” katanya. – UTUSAN