TOULOUSE: Misi angkasa lepas yang lama ditunggu-tunggu untuk mencari dan mengesan kehidupan atau makhluk asing di Musytari dilancarkan kelmarin.
Lapor Mirror.uk, misi dengan nama pelik, Juice (singkatan untuk Jupiter Icy Moons Explorer), adalah projek Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan mereka akan membuat pemerhatian terperinci yang tidak pernah berlaku sebelum ini iaitu mencari kewujudan gas atau makhluk asing.
Misi berkenaan akan menyiasat sama ada bulan berais Ganymede, Callisto dan Europa yang mengorbit Musytari mempunyai lautan mereka sendiri atau tidak dan adakah ia boleh menyokong kehidupan.
Roket Ariane 5 dilancarkan pada 1.15 petang waktu United Kingdom kelmarin dari pelabuhan angkasa ESA di Kourou, Guiana Perancis, wilayah Perancis di pantai timur laut Amerika Selatan.
Jumlah masa pelayaran Juice ialah lapan tahun dan termasuk melintasi bumi dan zuhrah dalam perjalanannya.
Ariane 5 merupakan kapal angkasa yang akan mengelilingi sistem suria dalaman dan kemudian satu siri flyby secara graviti akan meluncurkan misi itu ke destinasi yang dimaksudkan.
Ketibaan dalam sistem Jovian (Jupiter membentuk sistem satelit yang dipanggil sistem Jovian) pula dijangka pada Julai 2031.
Juice tidak secara eksplisit mencari kehidupan asing tetapi ia boleh membantu menentukan sama ada keadaan di lautan tersembunyi planet itu mempunyai sekurang-kurangnya peluang untuk menyokong organisma mikrob mudah.
Mereka merancang untuk mendapatkan maklumat dengan menggunakan 10 instrumen yang dibina ke dalam kapal angkasa termasuk satu yang dibangunkan oleh pakar dari Imperial College London.
Ketua Jabatan Fizik di Imperial College London dan penyiasat utama untuk J-MAG, Profesor Michele Dougherty berkata kepada ITV News, apa yang mereka lakukan adalah amat sukar.
“Ia seperti cuba mencari banyak jarum dalam timbunan jerami dan jarum itu berubah bentuk dan warna sepanjang masa.
“Tetapi kami fikir keputusannya akan menjadi menakjubkan,” ujarnya.