PUTRAJAYA: Perdana Menteri mengakui masih ada pihak yang meminta komisen ketika berurusan dengan kerajaan termasuk dari pejabat beliau.
Dalam hal itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak bekerjasama untuk membanteras budaya tersebut dengan mengubah kepada kaedah baharu tata kelola yang lebih cekap dan bersih.
“Kita tidak boleh nafikan masih ada. Saya pun dengar kadang-kadang dia kata orang minta komisen dari pejabat saya, pejabat menteri dan pegawai.
“Kaedah cekap dan bersih perlu ada dalam setiap urusan bagi menarik serta menambah keyakinan pelabur terhadap negara ini.
“Untuk membersihkan budaya lama itu memerlukan masa. Jadi saya minta kerjasama saudara saudari (penjawat awam), kerana apabila imej itu baik ia menjadi mudah sekali (keyakinan pelabur),” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.
Anwar berkata, Malaysia terus menerima keyakinan baharu daripada pelabur luar untuk melaksanakan urusan perniagaan di negara ini apabila landskap politik berada pada keadaan stabil.
Beliau menjelaskan, keyakinan itu akan terus meningkat apabila kemudahan berniaga sentiasa jelas selain ada ketetapan tepat behubung kaedah baharu yang lebih cekap serta bersih.
“Pagi semalam saya baru pulang dari China, Alhamdulillah satu kejayaan buat negara. Ini kerana pasukan rakan-rakan menteri yang bertungkus-lumus sebelumnya dengan pegawai-pegawai dan seluruh jabatan terlibat.
“Presiden dan Perdana Menteri China melayani luar biasa, saya terkesan juga dari segi perbincangan hati ke hati dan menghormati pendirian kita bukan saja meneliti tentang beberapa inisiatif baharu tentang pembangunan, keselamatan dan peradaban atau tamadun.
“Perbincangan itu bukan sahaja dalam bahasa diplomasi biasa, tetapi saya insaf ini bukan kerana saya seorang Perdana Menteri tetapi pasukan pimpinan dan penjawat awam yang menyusun acara, mendapatkan kumpulan hampir 50 syarikat gergasi terbesar bernilai puluhan bilion boleh hadir, yang belum pernah menyatakan satu minat dan kesediaan berbincang dan berunding kerana ada usaha dibuat berbincang dan menemui mereka sebelum acara itu,” katanya. – UTUSAN