PETALING JAYA: LBS Foundation (LBSF), sebuah badan yang mengendalikan aktiviti tanggungjawab sosial korporat bagi Kumpulan LBS Bina Group Berhad, telah menghulurkan sumbangan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria sejumlah RM500,000.
Gempa bumi yang melanda wilayah timur Turkiye pada 28 Februari lalu, dengan magnitud 7.2 telah mengakibatkan pelbagai kerosakan besar, kehilangan nyawa dan ramai daripada mereka yang kehilangan tempat tinggal.
Bagi meringankan beban daripada bencana alam ini, LBSF telah menyumbang RM500,000 kepada Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) untuk membantu usaha serta bantuan yang sedang giat dijalankan di Turkiye dan Syria.
Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Lembaga Pemegang Amanah LBS Foundation, Tan Sri Lim Hock San kepada Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, disaksikan Menteri Luar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Menerusi rekod prestasi yang kukuh di dalam menyokong komuniti yang memerlukan dan dilanda krisis, LBS Foundation juga sebelum ini telah menyumbang beberapa bantuan bencana seperti sumbangan kepada Tabung Bantuan Khas Covid-19 (RM1 juta) dan di Selangor (RM20,000) serta bantuan banjir di Pahang (RM50,000).
“Kami turut bersedih dengan tragedi yang telah berlaku di Turki dan Syria, dan kami sentiasa mendoakan yang terbaik buat mereka.” Sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab, kami sedar akan kewajipan kami untuk menyokong sebarang usaha bantuan dan menghulurkan sokongan kami kepada penduduk di Turki dan Syria pada saat yang mencabar ini.” kata Hock San.
LBS Foundation adalah sebahagian daripada komitmen yang berterusan untuk membantu memperkukuhkan individu dan meningkatkan komuniti di setiap peringkat.
“Kami percaya sumbangan ini akan memberi impak positif kepada mereka yang terjejas akibat bencana gempa bumi di Turki dan Syria di samping membantu menyokong kerja-kerja organisasi kemanusiaan di lapangan.” tambah beliau. – UTUSAN