Latihan Lee Zii Jia di Hong Kong makan diri?

Latihan Lee Zii Jia di Hong Kong makan diri?

LEE ZII JIA ketuai kemaraan Malaysia di Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekalahan perseorangan utama negara, Lee Zii Jia di Kejohanan Badminton Asia 2023 yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelmarin menimbulkan persoalan sama ada percaturannya untuk berkelana ke Hong Kong tepat atau sebaliknya.

Zii Jia yang merupakan penyandang juara edisi lalu, ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long di pusingan pertama dengan keputusan 19-21, 16-21.

Terdahulu, pemain kelahiran Kedah itu membuat persediaan rapi berlatih di Hong Kong bersama Angus dan beberapa pemain negara tersebut yang dikendalikan oleh jurulatih kelahiran negara, Wong Tat Meng.

Bagaimanapun, bekas pemain No. 1 Dunia, Roslin Hashim berpandangan perkara itu tidak berasas memandangkan tempoh latihan yang amat singkat, sebaliknya merasakan gaya permainan Zii Jia sudah lama dibaca oleh lawan.

“Sebenarnya bukan kita nak katakan ia (berlatih di Hong Kong) betul atau salah, boleh jadi dia (Zii Jia) pergi ke sana tidak tahu akan berlatih bersama Ka Long. Sekiranya tidak ke sana pun, Ka Long tetap akan kaji permainannya.

“Cuma sekarang orang ramai melihat perkara itu sebagai punca, namun ia bukan punca utama. Dia pergi pun sebagai rakan sepelatih sahaja dan dalam tempoh singkat, jadi saya tidak lihat itu sebagai faktor kekalahan.

“Katakan Ka Long cuba mengkaji permainannya ketika berlatih di Hong Kong, Zii Jia juga ada peluang untuk buat perkara sama tetapi kelebihan yang Ka Long ada ialah dia memiliki jurulatih,” jelas Roslin.

Tambah Roslin, Zii Jia perlu mempelbagaikan lagi corak permainannya memandangkan rata-rata lawan yang ditentang sudah masak dengan kelebihan dimiliki pemain berusia 25 tahun iaitu pukulan smash yang kencang.

“Memang kita tahu apa kelebihan yang dia ada, jadi bila main jangan mengharapkan benda itu sahaja. Maknanya dia kena variasi.

“Memang tidak dinafikan itu senjata dia, tetapi dalam perlawanan, katakan dia kurang mendapat peluang untuk melakukan pukulan tersebut, di situ dia perlu bijak untuk mengubah permainan supaya dapat mencipta peluang. Dia tidak boleh berterusan untuk bermain dengan satu gaya sahaja,” tambah Roslin.

Kekalahan Zii Jia menyaksikan perjuangan skuad perseorangan lelaki negara di Kejohanan Asia 2023 telah tamat, memandangkan sebelum itu, seorang lagi pemain harapan, Ng Tze Yong turut terkandas di tangan seorang lagi pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu.

Bagaimanapun, Zii Jia berpeluang untuk menebus kekecewaan terlepas kejuaraan Asia apabila bakal menyertai skuad negara dalam acara berpasukan di Piala Sudirman yang akan berlangsung di Suzhou, China pada 14 hingga 21 Mei depan.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya