KUALA LUMPUR: Penantian Kuala Lumpur (KL) City untuk merasai nikmat kemenangan dalam aksi Liga Super musim ini, akhirnya tercapai selepas menundukkan Sabah 2-0, sebentar tadi.
Kejayaan itu hadir pada perlawanan keenam mereka di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sekali gus memberi tiga mata pertama kepada skuad kendalian Bojan Hodak.
Begitupun, nasib berbeza buat Sabah yang mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas dibelasah Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-0, Jumaat lalu.
Dalam aksi tersebut, T. Saravanan membuka tirai jaringan buat KL City pada minit ke-15 menerusi lambungan menewaskan penjaga gol pelawat, Damien Lim meskipun Sabah bermula garang sebaik sahaja wisel sepak mula ditiup.
Bersambung babak kedua, Sabah terus meningkatkan intensiti serangan dengan mencipta beberapa peluang namun masih gagal menembusi gawang yang dikawal penjaga gol KL City, Azri Ghani.
Sebaliknya, tuan rumah yang lebih banyak bertahan sekali lagi membocori gawang Sabah pada minit terakhir perlawanan menerusi ledakan Sean Giannelli sekali gus menoktahkan kemenangan buat KL City.-UTUSAN