ALOR SETAR: Beraksi 10 pemain tidak menghalang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melunaskan dendam kepada Penang FC yang menyingkirkan mereka dalam Piala FA, Mac lalu apabila menundukkan pasukan Harimau Kumbang 1-0 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Kemenangan itu terhasil menerusi jaringan pada minit ke-64 oleh penyerang import dari Brazil, Willian Lira yang banyak menerima kecaman peminat sebelum ini akibat ketandusan jaringan dalam beberapa perlawanan.
Pelawat terlebih dulu mendatangkan ancaman kepada tuan rumah seawal minit ke-2 apabila pertahanan Sang Kenari, Mohamad Heshamudin Ahmad menjatuhkan pemain tengah Penang di luar kotak penalti. Namun sepakan percuma Hassan Soony Saad melewati palang.
Kira-kira 10 minit selepas itu, Penang sekali lagi mengolah gerakan menerusi Nik Akif apabila hantaran lolosnya tepat kepada Muhammad Adib Abdul Raop tetapi rembatan itu berjaya ditepis penjaga gol KDA, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Tidak berdiam diri dengan asakan demi asakan dilakukan pelawat, KDA berjaya menyumbat bola ke gawang Penang pada minit ke-14 menerusi pemain sayap lincah, Al-Hafiz Harun. Gol tersebut bagaimanapun dibatalkan akibat berada dalam kedudukan ofsaid.
Perlawanan selepas itu berlangsung hambar dengan pemain kedua-dua pasukan jelas bertindak berhati-hati beraksi dalam padang basah, akibat hujan berterusan sejak petang.
Memasuki babak kedua, penyokong tuan rumah dikejutkan dengan insiden pada minit ke-53 apabila pertahanan mereka, Wan Amirul Afiq Wan Ab. Rahman diperintah keluar padang apabila mengutip kad kuning kedua kerana sengaja menyentuh bola dengan tangan.
Kekurangan seorang pemain tidak merencatkan permainan tuan rumah dengan mereka tetap berjaya merencana beberapa serangan selepas itu.
Hasilnya Lira berjaya menghasilkan jaringan apabila sepakan penjuru Manuel Hidalgo singgah tepat ke kakinya dan tanpa menunggu lama, Lira melepaskan rembatan leret yang gagal ditampan kemas penjaga gol Penang, Muhammad Azfar Arif Mohd. Sukri.
KDA terus menghasilkan gerakan-gerakan untuk mengancam kubu lawan. Antaranya melalui rembatan jarak jauh Hidalgo pada minit ke-69 yang hanya sedikit tersasar ke kanan gawang Penang.
Penang bagaimanapun tidak berhenti mencuba sehingga percubaan berbahaya pada minit ke-90 menerusi rembatan deras Adriano Aparecido Narcizo dari luar kotak penalti.
Kalamullah kemudiannya sekali lagi menunjukkan mengapa beliau layak dipanggil Kim Pang Gon untuk menyarung jersi kebangsaan apabila bijak melayangkan badan bagi menyelamatkan bola itu untuk kedudukan kekal 1-0 di Stadium Darul Aman. –UTUSAN