GUINEA PIG merupakan satu-satunya haiwan yang ‘tidak haram’ disentuh, dipegang, dibelai dan dibela. Namanya sahaja sudah kontroversi sehingga menimbulkan kekeliruan untuk dijadikan haiwan peliharaan. Walhal ia hanyalah spesies tikus Belanda yang manja dan boleh dibela sebagai haiwan kesayangan.
Tidak hairanlah ramai pencinta haiwan kini beralih angin dan tertarik untuk membela guinea pig.
Ia juga gara-gara kebanyakan pengikut TikTok terhibur dengan gelagat seekor tikus Belanda dikenali sebagai Kalbar milik seorang bekas polis bantuan, Fatin Farhana Ismail, 30 atau lebih mesra disapa Bie.
Kalbar semakin popular dan mendapat tempat di hati pengikut kerana aksi bersahaja dan comel seolah-olah memahami apa yang berlaku di sekelilingnya terutama semasa Bie membuat live di TikTok.
Ia bermula apabila Bie sering berkongsi tentang guinea pig di media sosial miliknya itu untuk meluaskan pengetahuan tentang tikus Belanda kerana ia adalah haiwan peliharaan yang sangat ‘rare’ di Malaysia.
“Lama-kelamaan pengikut semakin tertarik untuk mengetahui tentang guinea pig. Jadi, saya teruskan dengan berkongsi tips membela dan penjagaan tikus Belanda ini. Tidak sangka ia mendapat sambutan yang begitu tinggi apabila kami live bersama hinggakan ada yang sanggup menawarkan harga tinggi untuk membeli Kalbar tetapi saya menolaknya kerana ia cukup istimewa bagi saya.
“Paling menarik perhatian sudah pasti gelagat Kalbar. Kadang-kadang aksi kami secara spontan dan serentak seperti satu video yang tular ketika mendengar bungi bunga api, kami sama-sama menoleh kepala ke arah bunyi itu,” katanya kepada Seri.
KALBAR CUKUP ISTIMEWA PEMBERIAN RAKAN
Bie yang membahasakan dirinya ‘emak’ kepada Kalbar mula membela tikus Belanda sejak 2021 melibatkan dua jenis baka iaitu American dan Abyssinia.
Kalbar pula merupakan tikus Belanda kelima dipelihara pada tahun lalu, hasil pemberian dua rakan lelaki, Ekal dan Abbar bagi menggantikan salah seekor haiwannya yang mati.
“Kalbar yang dihadiahkan kawan itu sangat istimewa bagi saya. Sebelum membela Kalbar, saya ada dua ekor guinea pig kemudian ia beranak dan bertambah jadi empat ekor. Malangnya, antara empat ekor itu, seekor telah mati.
“Ketika itu saya sangat sedih, jadi dua rakan menghadiahkan seekor guinea pig sebagai ganti. Saya menamakan ia sebagai Kalbar sempena gabungan nama mereka,” katanya.
Kalbar merupakan baka American Red jantan sudah berusia setahun lebih.
Kini Bie mempunyai enam ekor tikus Belanda yang diberi nama Encem, Latte, Tom dan Cruella. ‘Emak’ Kalbar ini turut menjual lebih 100 ekor guinea pig berharga antara RM80 hingga RM1,000 seekor, malah boleh mencecah RM2,000 mengikut jenis baka ke seluruh Malaysia sejak tahun lalu.