KOTA TINGGI: Menjadi kebiasaan bagi masyarakat Felda memasak bubur lambuk sempena Ramadan, namun berbeza di Felda Lok Heng Timur di sini yang menukar menu kepada bubur sum sum untuk menyemarakkan bulan mulia ini.
Program memasak bubur sum sum dianjurkan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Lok Heng Timur, Pertubuhan Kami Anak Felda Malaysia (KAF) dengan kerjasama pihak pengurusan Felda berjaya menghasilkan sebanyak 650 bungkus bubur.
Wakil MBFM Felda Lok Heng Timur, Amiruddin Ilias berkata, kesemua bubur tersebut diagihkan kepada setiap peneroka di Felda tersebut melalui ketua blok.
“Tujuan kita buat kelainan adalah untuk elak pembaziran jadi kita olah bubur lambuk yang menjadi tradisi tahunan dimasak setiap kali Ramadan kepada bubur sum sum.
“Bila penduduk makan akan rasa kelainan, tambahan pula bubur lambuk sangat biasa pada bulan Ramadan. Ini adalah usaha kita bersepakat dengan pihak Felda untuk cari idea baru untuk program ini,” katanya.
Amiruddin berkata, program memasak bubur sum sum empat periuk secara gotong-royong yang diketuai golongan belia di Felda berkenaan.
Katanya, usaha berkenaan juga untuk memartabatkan peranan generasi muda Felda tambahan pula warga peneroka yang sebelum ini menjadi tonggak ramai sedang uzur. – UTUSAN