Buaya muncul di Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman   - Utusan Malaysia

Buaya muncul di Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman  

TANGKAP layar daripada video menunjukkan seekor buaya muncul di Pantai Teluk Mak Nik, Geliga, Kemaman, Terengganu pada Khamis lalu. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Pengunjung dan pemancing di Pantai Teluk Mak Nik, Geliga, dekat sini, gempar dengan kemunculan seekor buaya yang dilihat berenang di pantai tersebut, Khamis lalu.

Kelibat reptilia yang dianggarkan berukuran lebih dua meter itu sempat dirakam orang ramai termasuk sekumpulan pemancing yang berada di tepi pantai tersebut kira-kira pukul 1 tengah hari. 

Mohd. Arif Ismail, 41, dari Bukit Kuang, berkata, dia dan tiga yang sedang memancing terkejut melihat kelibat buaya tersebut yang berenang berhampiran kawasan pantai itu. 

“Pada awalnya, saya menghampiri pantai untuk alihkan joran. Tiba-tiba saya terlihat objek yang menyerupai kayu dalam keadaan tenggelam dan timbul beberapa kali, hanya 50 meter di hadapan saya. 

“Bila diperhatikan betul-betul, memang saya terkejut apabila objek tersebut bukannya kayu, tetapi seekor buaya yang sedang berenang, namun tidak mengganggu kami,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Mohd Arif yang sudah biasa memancing di pantai itu sejak empat tahun lalu berkata, dia tidak menyangka terjumpa buaya di pantai tersebut.

Terdahulu, video yang berdurasi 0.59 saat yang memaparkan buaya tersebut sedang berenang sempat dirakam Mohd. Arif tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Mohd. Arif berkata, kelibat seekor buaya yang dipercayai buaya yang sama juga sempat dirakam penduduk di sekitar Pantai Kuala Kemaman yang hanya terletak kira-kira empat kilometer dari Pantai Teluk Mak Nik, pada petang hari yang sama. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah melakukan siasatan berkenaan kejadian dan pemantauan sedang dilakukan. 

“Buaya boleh berada di kawasan sungai dan pantai. Siasatan mendapati kawasan pantai itu tiada aktiviti mandi manda dan kalau ada aktiviti tersebut, kita minta orang ramai jangan mandi dan jauhi kawasan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya