PERMATANG PAUH: Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon rakyat memberi tempoh beberapa tahun kepada kerajaan untuk membuktikan tatakelola yang baik dalam pentadbiran di peringkat Pusat termasuk menghapuskan amalan rasuah atau ‘sakau’.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan perlu memperbetulkan amalan rasuah atau kleptokrat yang mana amalan itu bukan hanya melibatkan individu sebaliknya disifatkan sebagai satu sistem.
Bagaimanapun, ujarnya, usaha itu bukan sesuatu yang mudah memandangkan amalan rasuah atau kleptokrat tersebut sudah menjalar di semua peringkat pentadbiran kerajaan.
Jelasnya, kejayaan menghapuskan amalan rasuah itu mampu meningkatkan hasil negara seterusnya membolehkan kerajaan mengagihkan semula hasil kepada rakyat.
“Negara kita bukan lagi terkenal kerana kepelbagaian kaum atau prestasi ekonomi yang baik, tapi kerana skandal 1MDB.
“Saya buka fail (kerajaan) dalam beberapa keputusan setahun dua ini dan penuh dengan kecurangan, nafsu serakah pemimpin.
“Saya tidak peduli sama ada dia Cina atau Melayu atau daripada parti mana, saya beritahu SPRM supaya bertindak secara profesional dengan data dan fakta yang betul.
“Sekiranya ada kes, Peguam Negara ambil tindakan pendakwaan supaya menjadi pengajaran,” katanya.
Beliau berucap pada majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri Pulau Pinang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, adalah mustahak untuk Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang memastikan kestabilan politik dan bekerja sebagai satu pasukan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Jelas beliau, rakyat perlu memahami mengapa kerajaan negeri yang boleh memahami dan bekerjasama sebagai satu pasukan dengan Kerajaan Pusat perlu dipertahankan.
“Saya minta rakyat faham keperluan kita mempertahankan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pastika kerajaan negeri ini kuat supaya dapat membantu kita memperkuatkan lagi Kerajaan Perpaduan di peringkat Kerajaan Pusat,” katanya. – UTUSAN