Musim perayaan mendatangkan rezeki berganda buat pengusaha hotel dan inap desa, apabila warga kota berpusu-pusu pulang ke kampung halaman masing-masing. Tinjauan saya lakukan di internet mendapati banyak premis yang ditempah.
Suatu perkembangan membanggakan, apabila kita dapat bersama-sama menjana ekonomi orang kampung kita sendiri.
Selain cuti sekolah, musim perayaan inilah orang berebut-berebut nak mencari kediaman untuk bermalam. Biarpun ada yang tidak suka cara menyewa di luar kala balik ke kampung, tetapi saya melihat kewajarannya bergantung kepada situasi.
Kalau kediaman kita tumpang bermalam itu, tidak kiralah rumah ibu bapa kita sendiri atau rumah saudara mara memiliki keluasan yang terhad, memang patut keluarkan sedikit belanja penginapan di tempat lain.
Sama keadaanya bagi keluarga besar yang ada ramai anak yang kian menginjak dewasa. Berkumpul dengan sepupu dan ipar duai di bawah satu bumbung, dikhuatiri tidak terjaga aurat.
Janganlah pula kita samakan dengan kehidupan kita dahulu yang mungkin tidak kisah berhimpun ramai-ramai dalam satu rumah.
Tak perlu pun rasa bersalah sebab kita ada alasan yang mewajarkan kita berbuat demikian. Tuan rumah pun mungkin lebih selesa dengan cara begitu.
Tetapi janganlah buat sebab sengaja tidak ingin membantu kerja mamasak dan membasuh pinggan. Bila nak tidur balik ke homestay. Bila perut berkeroncong pandai pula datang ke rumah mak ayah. Memanglah patut kena kecam.
Aidilfitri ini yang lebih penting ialah kepulangan kita bertemu ibu dan ayah. Roh Aidilfitri itu kuat, tidak sama dengan hari-hari biasa. Sebab itulah ada yang sanggup menempuh kesesakan lalu lintas berjam-jam demi menatap wajah-wajah insan yang kita sayangi.
Usah terlalu berkira. Tutup sebelah mata kesalahan dan kesilapan orang lain yang mungkin dilakukannya secara tidak sengaja.
Tetamu datang memberi meriah sehari dua sahaja, selebihnya kita kembali ke asal. Yang penting keikhalasan meraikan hari kemenangan umat Islam ini.
Bercakap mengenai kemenangan ini mengingatkan saya mengenai bagaimana orang kita terlau mudah ditipu dengan cerita sedih bagi mengumpul duit yang berleluasa berlaku di media-media sosial. Kita senang sahaja mendedahkan diri dengan penganiayaan dan penipuan. Betul membantu orang itu niat mulia, tetapi kalau membantu penipu pun, mulia kah?
Baru-baru ini seorang wanita warga emas di dakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam kerana menipu dengan meminta sumbangan untuk anaknya yang tidak wujud di India yang mengalami sakit kanser menerusi TikTok.
Bukan sikit duit. Polis menemui wang RM110,011 daripada individu yang sepatutnya dihantar ke India, manakala RM268,000 lagi ditemui dalam satu akaun bank disyakit hasil sumbangan orang ramai.
Dikesempatan ini, saya dan kumpulan Seri ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.