Zuraida tanda tangan dokumen secara paksa

Zuraida dakwa tanda tangan dokumen secara paksa

ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin mengakui ada menandatangani beberapa dokumen yang disediakan oleh parti berkenaan sehari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14 namun berbuat demikian dalam keadaan terpaksa.

Katanya, ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir, beliau hanya diserahkan beberapa dokumen tanpa diberi peluang untuk membaca dan meneliti atau diberikan penjelasan mengenai isi kandungan dokumen terbabit.

“Saya hanya diberitahu bahawa saya perlu menandatangani dokumen-dokumen tertentu untuk membolehkan saya bertanding di bawah nama PKR, membuatkan saya berfikir bahawa ia hanyalah dokumen biasa tentang kebenaran untuk saya bertanding menggunakan nama parti itu.

“Saya sama sekali tidak diberikan apa-apa pilihan lain selain daripada menandatangani dokumen yang disediakan oleh parti. Pada ketika itu, saya telah menandatangani dokumen-dokumen tersebut di bawah paksaan tanpa diberikan pilihan sebenar kerana saya ingin terus memberikan perkhidmatan saya kepada rakyat khususnya di kawasan Parlimen Ampang,” katanya.

Tambahnya, beliau juga tidak mengetahui sama ada dokumen yang ditandatangani adalah bon bernilai RM10 juta yang mengikatnya kepada parti atau dokumen lain.

Selain itu, Zuraida yang dinamakan sebagai defendan dalam saman tersebut menyatakan bon dengan penalti melampau itu tidak pernah dibincangkan bersama dan dipersetujui secara rela, malah ia salah dan bertentangan undang-undang.

Merujuk kepada tuntutan berhubung perbelanjaan oleh parti berkenaan bagi setiap calon, Zuraida berkata beliau tidak mengetahui jumlah yang dibelanjakan oleh parti dan tidak menerima wang perbelanjaan untuk menjalankan kempen pada PRU-14.

Sebaliknya, beliau telah membelanjakan wang sendiri yang tidak terhitung jumlahnya untuk kempen pilihan raya sepanjang pembabitan dalam PKR adalah tidak terhitung.

“Seingat saya, sepanjang saya bertanding di bawah Parti tersebut, saya hanya pernah menerima sekali sahaja dana daripada Anwar Ibrahim sebanyak RM 10,000.00 untuk digunakan sebagai dana kempen pilihanraya umum pada tahun 2008.

“Selepas daripada itu, tiada lagi wang yang diterima daripada Parti tersebut dan saya terpaksa menggembleng tenaga dan masa penyokong-penyokong saya untuk mencari dana untuk berkempen, termasuklah untuk PRU-14 yang telah lepas.

“Selain itu, ibu pejabat parti pernah tidak cukup wang untuk bayar gaji kakitangan parti dan pihak pengurusan ibu pejabat telah menghubungi saya untuk meminta bantuan sebanyak RM40,000,” ujar Zuraida.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga berkata jumlah kerosakan yang mencecah RM12,049,459.30 selepas peletakan jawatannya adalah sebagai tidak masuk akal sedangkan beliau bekerja untuk rakyat dan imbuhan itu adalah balasan yang sah untuk atas kerja yang dilakukannya.

Selepas mendengar keterangan daripada Zuraida, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir menetapkan 23 Jun ini untuk keputusan kes saman itu.

Pernyataan tuntutan PKR yang difailkan pada 28 September 2020 mendakwa Zuraida telah menandatangani bon yang mengikat dirinya untuk membayar sejumlah RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.

PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Parti itu mendakwa pada atau sekitar 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain telah mengumumkan peletakan jawatan namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional.

PKR turut menuntut agar Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya