Surat RoS: Shahidan bawa usul tergempar ke Dewan Rakyat esok

Surat RoS: Shahidan bawa usul tergempar ke Dewan Rakyat esok

shahidan
SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim akan mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat esok, berhubung kewujudan surat yang didakwa daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengenai pemilihan UMNO.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis itu berkata, usul tergempar itu akan dikemuka mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi penjelasan mengenai keaslian surat berkenaan.

Katanya, usul tergempar itu juga menuntut kerajaan menjelaskan mengenai pengecualian yang diberi kementerian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

Seksyen 13(1)(c)(iv) memperuntukkan Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan berdaftar yang didapati melanggar secara sengaja mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta itu.

“Usul ini akan dibawa secara tergempar kerana ia membabitkan kepentingan awam, dan atas dasar apa pengecualian diberikan. Kami juga mahu penjelasan, adakah surat ini benar. 

“Insya-Allah saya akan bawa usul tergempar. Perkara ini harus dibawa dalam Parlimen. Saya rasa ia wajar untuk saya bawa mengikut Perkara 18(1) untuk usul ini disegerakan.

“Kita mahu supaya rakyat memahami tujuan menteri berbuat demikian (memberi pengecualian kepada UMNO),” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan menggunakan kuasanya untuk mengecualikan UMNO daripada dibatalkan pendaftarannya mengikut Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

Ia berhubung usul tambahan yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) hari ini juga menggesa kerajaan menjelaskan mengenai kewujudan satu surat yang didakwa dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung pemilihan UMNO.

Katanya, surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO itu, antara lain menyatakan bahawa usul tambahan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, sebagai tidak sah.

Menurut surat bertarikh 2 Mac lalu, Takiyuddin mendakwa, RoS berpandangan usul tambahan berkenaan tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

Dua hari lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan menerbitkan surat daripada RoS yang meluluskan usul tambahan parti itu supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertanding pada pemilihan tahun ini.

Tindakan itu akan dibuat bagi memberi noktah kepada polemik berkaitan perkara itu.

Baru-baru ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Ahmad Zahid mendedahkan surat itu kerana menurutnya terdapat laporan media yang bercanggah.

Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO memfailkan notis bantahan kepada RoS berhubung ketetapan untuk tidak mempertanding dua jawatan itu yang didakwa tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya