Sindiket judi atas talian didalangi warga asing tumpas

Sindiket judi atas talian didalangi warga asing tumpas

RUSLIN Jusoh menunjukkan antara barang rampasan dalam sidang akhbar sindiket perjudian didalangi warga asing di Jabatan Imigrsen Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu sindiket perjudian atas talian didalangi warga asing yang beroperasi sejak dua tahun lalu berjaya dilumpuhkan dalam operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sejak dua hari lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan berjaya menahan 15 warga asing termasuk seorang lelaki warga tempatan di beberapa lokasi berasingan di Kuala Lumpur dan Selangor pada Selasa dan Rabu lalu.

Beliau berkata, turut ditahan dalang sindiket iaitu seorang lelaki warga Bangladesh berusia 40 tahun yang juga memiliki pas lawatan sosial serta suami kepada warga tempatan.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 25 hingga 40 tahun membabitkan warga Bangladesh dan Indonesia yang kesemuanya tidak memiliki pas kerja sah.

“Dalam serbuan pertama 28 Mac lalu, kami menyerbu sebuah premis yang berselindung di sebalik perniagaan snuker dan menahan enam individu termasuk lelaki warga tempatan berusia 40 tahun yang juga penjaga premis.

“Premis itu menyediakan bilik rahsia yang diubah suai sebagai pusat perjudian bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa dan pelanggan mesti mempunyai kod rahsia untuk masuk bilik berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya, dalam serbuan kedua di tiga lokasi di Kuala Lumpur pula, seramai sembilan ditahan termasuk dalang sindiket.

Ruslin berkata, siasatan awal mendapati, dalang utama sindiket terbabit mengendalikan sebuah syarikat perkhidmatan pembersihan yang beroperasi sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, pihaknya turut merampas 46 unit komputer pelbagai jenama selain 37 naskhah pasport dan wang tunai sebanyak RM114,450 dipercayai hasil aktiviti perjudian.

“Berdasarkan jumlah wang tunai yang dirampas, kami percaya sindiket ini mampu meraih keuntungan sekitar RM1.3 juta hingga RM1.5 juta setahun.

“Kesemua warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen.

“Manakala, lelaki warganegara tempatan itu dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman selama tiga hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah untuk siasatan,” katanya.

Katanya, pihaknya masih mengesan rangkaian sindiket perjudian itu termasuk di sekitar Lembah Kelang dan negeri-negeri lain.

Jelasnya lagi, sindiket menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga asing, namun ada juga warga tempatan yang turut menyertai perjudian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya