PETALING JAYA: Atlet olahraga negara, Shereen Samson Vallabouy terus mencipta sensasi apabila meleburkan rekod kebangsaan acara 400 meter (m) dalam dewan buat kali keempat.
Pelari berusia 25 tahun itu memperbaharui rekod kebangsaan 400m itu dengan catatan 52.27 saat (s) sekali gus memenangi pingat emas di Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan Divisyen II Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia Beach, Virginia, Amerika Syarikat (AS), awal pagi tadi.
Shereen mengatasi Shiean Walters yang mengakhiri aksi final di tempat kedua dengan catatan 53.54s manakala Tiffany Hughey ketiga 53.68s.
Berdasarkan catatan Shereen itu, dia yang ketika ini menuntut di Winona State University di Minnesota dijangka tidak berdepan masalah untuk meleburkan rekod luar dewan berusia 30 tahun milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam iaitu 52.56s yang dilakukan pada 1993 di Filipina apabila beraksi dalam kejohanan luar dewan bermula hujung bulan depan.
Pada Mac tahun lalu, nama Shereen mula menjadi sebutan apabila dia melebur rekod kebangsaan dalam dewan milik Noraseela Mohd Khalid 54.58s yang dilakukan pada 2006 dengan catatan masa 53.79s.
Dia kemudiannya memperbaharui rekod berkenaan dengan catatan 53.47s ketika Kejohanan Bearson Gathje Classics di Minnesota, Januari lalu sebelum sekali lagi mengatasinya ketika dia memenangi pingat emas pada Kejohanan Olahraga Jemputan Lewis Illinois, Chicago dengan catatan 52.87 saat (s), bulan lalu.
Catatan yang dilakukan awal pagi tadi adalah kali keempat dia memecahkan rekod kebangsaan 400m dalam dewan dalam tempoh setahun.-UTUSAN