PETALING JAYA: Selangor FC berpesta gol selepas melakar kemenangan besar 5-0 ke atas Kuching City pada aksi kedua Liga Super di Stadium Negeri, sebentar lagi.
Turun di laman lawan, skuad Red Giants tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi tolakan mudah pemain import dari Jordan, Noor Al-Rawabdeh pada minit keempat.
Lima minit selepas itu, giliran penyerang dari Columbia, Ayron del Valle menggandakan jaringan buat Selangor.
Corak permainan ditampilkan anak buah Tan Cheng Hoe jelas berbeza berbanding perlawanan pertama menyaksikan Kuching City lebih banyak berkubu menahan asakan jentera serangan Selangor.
Kedudukan 2-0 itu bagaimanapun kekal sehingga babak pertama berakhir.
Bersambung babak kedua, pasukan pelawat terus bernafsu apabila hanya memerlukan masa tiga minit untuk merobek gawang tuan rumah buat kali ketiga hasil ledakan Al-Rawabdeh selepas menerima umpanan cantik Faisal Halim.
Kapten Harimau Malaya itu, sekali lagi memainkan peranan untuk gol keempat Selangor apabila hantaran lintangnya berjaya disempurnakan Brendan Gan pada minit ke-66.
Pemain gantian, Ahmad Danial Ahmad Asri menutup malam penuh cemerlang Selangor apabila meledak gol kelima pada minit ke-73.
Biarpun ketinggalan lima gol, pemain Kuching City masih melawan apabila beberapa kali mencipta peluang namun gagal untuk meletakkan bola dalam gawang yang dikawal oleh Khairulazhan Khalid.-UTUSAN