Saman PH Sabah terhadap kerajaan diketahui 9 Mei 

Saman PH Sabah terhadap kerajaan diketahui 9 Mei 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak menetapkan 9 Mei ini bagi pendengaran kes kali terakhir berhubung saman ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah terhadap Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah ber­hubung tuntutan 40 peratus hasil negeri. 

Tarikh itu ditetapkan sebelum mahkamah membuat keputusan sama ada mahu meneruskan saman berkenaan atau sebaliknya setelah memberi masa untuk kedua-dua pihak berunding. 

Peguam yang mengetuai saman pemula PH itu, Nelson W. Angang mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi selepas selesai prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Ismail Brahim. 

“Kami maklumkan kepada mahkamah memang kerajaan negeri dan Persekutuan masih lagi berunding berhubung tuntutan hasil negeri ini dan semua plaintif tiada niat mahu menarik saman. Jadi, mahkamah memberi sedikit masa jika rundingan ini berjaya dicapai atau tidak. 

“Jika kesepakatan gagal dicapai pada tarikh tersebut, mahkamah akan memanggil lagi untuk sebutan kes di mana mahkamah memberi arahan untuk meneruskan kes saman ini atau tidak. 

“Kalau belum ada rundingan diselesaikan yang boleh dipersetujui bersama, maka, kes akan diteruskan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. 

Pada 10 Mac lalu, akhbar ini melaporkan, status kes saman ahli-ahli Parlimen dan ADUN PH  Sabah terhadap Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah ber­hubung tuntutan 40 peratus hasil negeri masih diteruskan. 

Pada Jun 2022, PH Sabah memulakan tindakan undang-undang dan menamakan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai defendan kedua berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri dikutip kerajaan Persekutuan. 

Turut hadir memfailkan saman itu antaranya Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi); Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin (Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan); ADUN Api-Api, Datuk Christina Liew (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah) dan ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe (Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah).

Pada November tahun lalu, Ewon dilaporkan berkata, saman terhadap kerajaan Persekutuan berkaitan 40 peratus hasil negeri Sabah tidak akan ditarik balik walaupun gabungan berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Semasa penggulungan  perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, isu 40 peratus hasil negeri Sabah dikutip kerajaan Persekutuan selaras Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan kurang wajar dibahas dalam sidang Dewan Rakyat. 

Katanya, isu itu kini melibatkan hal perundangan yang telah dirujuk kepada mahkamah untuk diputuskan dan membincangkannya lebih lanjut dikhuatiri sebagai subjudis. 

Di awal pembentukan Malaysia, Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama subseksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Ke-10, Perlembagaan memperuntukkan, Sabah berhak menerima pemberian khas dengan dua perlima atau 40 peratus daripada hasil negeri yang dikutip Kerajaan Persekutuan setiap tahun. 

Bagaimanapun, Sabah tidaklah mendapatkan kadar tetap 40 peratus namun diganti dengan pemberian khas melalui geran tahun seperti yang berkuatkuasa kini. 

Tahun lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan Perdana Menteri ketika itu telah menaikkan amaun pemberian khas menerusi geran tahunan sebanyak 4.7 kali ganda atau RM125.6 juta (2022) berbanding RM26.7 juta sejak 1973 (ulangkaji pertama). Ini berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. 

Bagaimanapun, pembangkang ketika itu berpendapat, pemberian khas tersebut tidak berdasarkan formula 40 peratus dan nilai sebenar adalah jauh lebih besar jika Kerajaan Persekutuan dan negeri bersetuju mengikuti formula berkenaan.

Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula ketika mempengerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkata, kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan kadar pemberian khas Sabah baharu (geran tahunan) kepada RM300 juta, mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. 

Untuk rekod, kajian semula pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan pertama telah dilaksana pada tahun 1969, yang membawa kepada pewartaan Perintah (Ulangkaji Pertama) Pemberian-Pemberian Khas Sarawak, 1969 [P.U.(A) 403/1969] dan Perintah Pemberian Khas Sabah (Ulangkaji Pertama) 1970 [P.U.(A)328/1970]. 

Pewartaan tersebut telah memperuntukkan kadar pemberian khas melalui geran tahunan sebanyak RM16 juta setahun kepada Sarawak, dan RM26.7 juta setahun kepada Sabah yang berkuatkuasa sehingga 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya