PN kesal, dakwa perjuangan pengeluaran KWSP dipandang sinis

PN kesal, dakwa perjuangan pengeluaran KWSP dipandang sinis

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memandang sinis perjuangan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Bersasar (KWSP) secara bersasar.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau benar-benar tersentuh dan sedih dengan kisah saudara Noorazlan Ismail yang sanggup berjalan kaki sejauh 312 km dari Plaza Tol Skudai di Johor menuju ke Istana Negara bagi memperjuang haknya untuk mengeluarkan simpanan KWSP. 

Ketua Pembangkang itu berkata, beliau amat memahami tindakan bapa kepada lima anak yang masih bersekolah itu benar-benar terdesak dan sedang dalam kesusahan. 

Ujarnya, pengeluaran simpanan itu sudah tentu menjadi kunci untuk Noorazlan keluar dari belenggu hutang seterusnya memulakan kehidupan baharu bersama keluarga. 

“Saya tahu ramai rakyat di luar sana yang terdesak dan amat-amat memerlukan pengeluaran simpanan KWSP. Mereka juga dalam kesusahan dan kepayahan sepertimana Noorazlan ini. 

“Sebab itu pengeluaran KWSP bersasar menjadi agenda perjuangan PN. Kami angkat denyut nadi dan suara hati rakyat yang mahukan pengeluaran simpanan KWSP ditunaikan kerajaan, tetapi sayangnya dibalas sinis PM Ke-10. 

“Perjuangan rakyat jangan dipandang sebelah mata. Dengarlah rintihan rakyat yang berjalan kaki ratusan kilometer ini. Rakyat mahukan pemimpin yang boleh membela mereka, bukan pemimpin yang berlakon saban masa,” jelasnya. 

Sebelum ini, media melaporkan, Norazlan yang juga pemandu teksi sanggup berjalan kaki beratus kilometer supaya kepayahannya disedari pihak atasan kerajaan terutama Perdana Menteri. 

Sementara itu, Kabinet pimpinan Anwar sebelum ini tegas menolak pengeluaran simpanan KWSP bagi mengelakkan rakyat ditimpa kesusahan apabila tiba masa bersara kelak.

Susulan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan dilapor berkata, kerajaan bercadang memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum terdesak menggunakan simpanan KWSP sebagai cagaran kepada institusi bank bagi mendapatkan pinjaman kewangan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya