PM tidak berhajat korek kelemahan kerajaan lalu

PM tidak berhajat korek kelemahan kerajaan lalu

ANWAR Ibrahim berucap pada majlis penutup Pemukiman Kementerian Luar di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Meskipun pernah dianiaya sehingga hampir separuh mati, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun tidak mahu mengungkit kelemahan kerajaan terdahulu.

Beliau bagaimanapun memberi amaran tidak akan bertolak ansur dengan kehilangan peruntukan kerajaan sebelum ini termasuk pakej yang diwujudkan ketika wabak Covid-19.

“Saya (pernah) dipukul setengah mati, tetapi itu saya maafkan kerana ia soal peribadi, namun jika wang negara dicuri berbilion-bilion ringgit, itu saya tidak akan maaf,” tegasnya ketika berucap menyampaikan ucaptama pada Sesi Interaksi Bersama-sama Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Secara Maya, di sini hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan itu pernah ditumbuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd. Noor ketika ditahan pada 1998 lalu selepas dipecat daripada Kabinet.

Insiden ‘tragedi mata lebam’ itu telah mencetuskan kebangkitan gerakan Reformasi tetapi pelakunya dihukum penjara selama dua bulan dan didenda RM2,000 pada 2000 lalu.

Mengulas lanjut, Anwar mengulangi pendirian bahawa dirinya tidak pernah berkompromi dengan perbuatan pemimpin politik tempatan yang mencuri wang negara sebelum ini.

“Saya tidak berhajat untuk mengorek atau mencungkil segala kelemahan silam melainkan kalau terbukti melibatkan dana yang banyak, ia mesti dipulang kepada negara,” jelasnya.

Tambah beliau, wang berkenaan sekiranya dapat dikembalikan boleh memberikan manfaat besar kepada rakyat terutama untuk kerja penambahbaikan prasarana awam yang teruk seperti bangunan sekolah terutama tandas selain klinik kesihatan kerana ia menjadi tumpuan golongan berpendapatan rendah.

Malah katanya, jika isu itu berjaya ditangani, tidak mustahil peruntukan dapat disalurkan untuk perkara lain termasuk menambah lagi bangunan kedutaan Malaysia di luar negara.

“Setakat ini jumlah canseri diplomatik kita masih cukup meskipun saya tahu ada banyak negara terutama di Afrika yang meminta kita buka kedutaan di negara mereka,” katanya merujuk pertanyaan Duta Malaysia di Maghribi, Datuk Astanah Abdul Aziz ketika sesi soal jawab mengenai hasrat banyak negara di benua itu ingin ada kedutaan Malaysia.

Ketika ini Malaysia memiliki pejabat diplomatik di 85 buah negara sahaja termasuk Wakil Tetap di Pertubuhan Bangsa Bersatu selain ASEAN dan misi perdagangan di Taiwan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya