PD kurang pengunjung, pengusaha hotel, resort turut terkesan - Utusan Malaysia

PD kurang pengunjung, pengusaha hotel, resort turut terkesan

AHMAD Firdaus Abdullah (lima dari kiri) bersama kakitangan Tunas Resort Port Dickson menunjukkan hidangan bufet yang ditawarkan pihaknya pada bulan Ramadan akan datang. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kekurangan pengunjung ke pantai peranginan di Port Dickson semasa cuti persekolahan ketika ini turut memberi kesan kepada pengusaha hotel dan resort di daerah ini.

Mengakui perkara itu, Pengarah Operasi Tunas Resort Port Dickson, Ahmad Firdaus Abdullah berkata, walaupun pelbagai promosi telah dilakukan namun masih tidak banyak tempahan penginapan diterima pihaknya.

“Pada musim cuti sekolah kali ini memang menyedihkan dan jualan hotel juga agak perlahan. Saya fikir berkemungkinan ibu bapa banyak fokus membeli barang persiapan sekolah dan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi. 

“Walaupun hotel kami berdekatan dengan Pantai Telok Kemang namun masih lagi tidak mendapat sambutan yang baik. Kami merancang untuk menawarkan harga hotel yang lebih rendah pada musim cuti persekolahan seterusnya selepas ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Majlis Pelancaran dan Previu Iftar Ramadan Tunas Resort Port Dickson 2023, di sini kelmarin.

Baru-baru ini, Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, musim peperiksaan awam sekolah yang sedang berjalan dilihat antara punca Port Dickson kurang menerima kunjungan walaupun pada waktu cuti persekolahan ketika ini.

Katanya, cuti persekolahan ketika ini berbeza berbanding cuti sebelum ini kerana peperiksaan juga sedang berlangsung yang bukan hanya pelajar malahan ia juga melibatkan guru-guru.

Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan juga berkata, hampir semua hotel di daerah ini berdepan dengan masalah kekurangan tempahan penginapan pada waktu ini.

“Boleh saya katakan tidak seperti dahulu, memang ini berkaitan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, orang ramai pun lebih berjimat cermat apatah lagi bulan Ramadan yang akan menjelang serta pembukaan semula sekolah.

“Semua hotel pun sama sahaja situasinya, ada yang kata ramai pelancong pada hujung minggu tetapi saya lihat sama sahaja, hotel tetap tidak penuh,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya