PETALING JAYA: Noor Al-Rawabdeh muncul wira Selangor FC apabila gol pada minit terakhir perlawanan berjaya membantu pasukannya menewaskan Penang FC 2-1 di Stadium Bandaraya di sini, petang tadi.
Kemenangan itu juga membolehkan The Red Giants mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.
Bertandang ke laman lawan, Selangor hampir membuka tirai jaringan namun percubaan Ayron del Valle pada minit ke-15 dalam kotak penalti tidak jauh tersasar.
Tersentak dengan serangan itu, tuan rumah hampir didepan menerusi tandukan Zaw Min Htun namun sekadar menggegar palang pada minit ke-22 yang turut menyaksikan Hadin Azman terpaksa diusung keluar padang ekoran kecederaan.
Menerusi serangan balas pantas dilakukan Faisal Halim sebelum melakukan hantaran lintang rendah kepada Ayron yang mudah menolak masuk untuk memberi gol pendahulan buat pasukan pelawat pada minit ke-28.
Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga berakhir babak pertama.
Bersambung babak kedua perlawanan, Penang berusaha keras untuk mencari gol penyamaan menerusi beberapa percubaan tepat ke gawang pelawat namun masih gagal menewaskan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.
Usaha keras tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila kapten Rafael Vitor menanduk gol penyamaan pada minit ke-87.
Begitupun dua minit kemudian, menerusi gerakan satu dua cantik antara pemain Selangor sebelum disudahkan dengan rembatan kencang Noor Al-Rawabdeh memastikan mereka membawa pulang tiga mata.-UTUSAN