SEREMBAN: Pasukan hoki wanita Negeri Sembilan mempertahankan status juara Liga Hoki Malaysia TNB 2023 selepas menewaskan KPT-Uniten Thunder (KPT) 2-1 dalam pertembungan di Stadium Hoki MBS S2 di Seremban, petang tadi.
Gol kemenangan Negeri Sembilan dijaringkan oleh penyerang kebangsaan, Nuramirah Shakirah Zulkifli pada minit ke-42 selepas kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1.
Negeri Sembilan yang perlu memenangi perlawanan pada hari ini untuk mengekalkan status juara liga menjaringkan gol pertama melalui Fatin Naimah Zaki pada minit ke-3 melalui pukulan sudut penalti.
Tersentak dengan jaringan awal itu pasukan KPT yang hanya memerlukan keputusan seri untuk dinobatkan sebagai juara liga bangkit melancarkan beberapa siri serangan balas.
Hasilnya, pasukan itu berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-8 melalui Nur Zafirah Aziz.
Hujan pada suku ketiga permainan tidak mengganggu tumpu para pemain kedua-dua pasukan mencari gol.
Nuramirah yang telah menjaringkan 15 gol dalam liga musim ini menoktahkan status juara liga untuk Negeri Sembilan apabila menjaringkan gol padang pada minit ke-42.
Kemenangan Negeri Sembilan itu menggembirakan lebih 500 penyokong pasukan itu yang tidak berganjak walaupun hujan.-UTUSAN