PUTRAJAYA: Pelaksanaan Menu Rahmah bukan bertujuan menjadikan peniaga makanan yang terlibat bertambah kaya, sebaliknya ia kaedah sukarela bagi membantu orang miskin.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, ramai mungkin tidak sedar bahawa ada banyak kawasan langsung tiada kedai makan menawarkan Menu Rahmah kerana tiada pun permintaan.
Beliau berkata, KPDN tidak pernah pun mengeluarkan arahan khusus bagi mewajibkan semua kedai makan menyediakan Menu Rahmah kerana ia terpulang atas budi bicara sendiri yang faham situasi pasaran mereka.
“Ada kawasan yang saya tinjau langsung jual harga premium macam biasa manakala ada tempat pula didapati boleh jual dengan lebih rendah bahkan percuma lagi,” jelas beliau dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2023, di sini hari ini.
Semalam, tular laporan media atas talian yang mendedahkan segelintir pengusaha kedai makan menanggung kerugian kerana menawarkan Menu Rahmah dengan mendakwa hidangan semurah RM5 itu mengakibatkan bisnes bertambah teruk dan tidak mendapat sambutan daripada pelanggan kerana sajiannya terlalu sedikit.
Pada masa sama, beliau mengingatkan peniaga bahawa konsep Menu Rahmah lebih bercorak kebajikan kerana ada pelanggan tidak cukup duit untuk membeli makanan asas.
Ia berdasarkan tinjauan pihak KPDN sendiri yang mendapati kadar RM5 itu merupakan harga paling murah mampu dibeli dan pelanggan tersebut bukan hendak makan banyak.
Setakat ini tambah beliau, pihak kementerian berpuas hati apabila kira-kira 1,230 premis di seluruh negara terlibat dan bilangan tersebut dijangka bertambah dalam masa terdekat. – UTUSAN