SABAK BERNAM: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menafikan wujud tapak khemah di Ekspo Stadium Sungai Besar di sini, yang hilang atau dimanipulasi pihak tertentu.
Unit Korporat dan Perhubungan Awamnya memaklumkan, dakwaan tular itu dianggap tidak berasas, berunsur fitnah dan menjatuhkan reputasi MDSB.
“Petak itu diletakkan bawah pengurusan penganjur dan perkara berkenaan dinyatakan dengan jelas pada pelan tapak ekspo. Bagi jumlah puluhan tapak khemah lain, tiada satu pun yang hilang atau dimanipulasi ketika cabutan tapak itu dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, proses penentuan tapak dijalankan secara telus menerusi cabutan nama pemohon diikuti dengan nombor petak masing-masing, malah jumlah dan kategori tapak turut dimaklumkan ketika permohonan dibuka selain maklumat dan hebahan di media sosial.
“Penentuan bagi tapak khemah besar dijalankan pada 1 Mac lalu, manakala khemah kecil pada keesokkannya di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar. Semua nama pemohon dinyatakan dalam senarai dipamerkan ketika cabutan nama dibuat iaitu masing-masing seramai 245 dan 273 pemohon.
“Perkara itu jelas menyatakan penyediaan 83 khemah besar dan 90 unit khemah kecil termasuk masing-masing empat serta dua yang dikhaskan untuk penganjur ekspo seperti dalam kontrak. Oleh demikian, hanya 79 tapak khemah besar dan 88 tapak khemah kecil yang dibuat cabutan,” katanya. – UTUSAN