MBSP hantar 2,200 tan sampah sehari ke Pulau Burung - Utusan Malaysia

MBSP hantar 2,200 tan sampah sehari ke Pulau Burung

PHEE Boon Poh (berdiri, tengah) bersama Azhar Arshad dan sebahagian pelajar yang menjayakan kempen Vlog Zero Waste @Bazar Ramadan peringkat negeri anjuran Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang (GREW) di bazar Ramadan Seberang Jaya semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Orang ramai terutama penduduk Seberang Perai dinasihatkan tidak membazir khususnya sepanjang bulan Ramadan ini dan hanya membeli makanan atau juadah pilihan mengikut keperluan dalam usaha mengurangkan penghasilan sampah.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Azhar Arshad berkata, ini kerana jumlah sampah yang dikutip di Seberang Perai dan dibawa ke pusat pelupusan sampah di Pulau Burung kini mencecah 251,101.64 tan atau bersamaan 48 peratus daripada jumlah sampah yang dilupuskan di situ.

“Secara ringkasnya, kita di Seberang Perai menghantar sehingga 2,200 tan sampah sehari ke Pulau Burung ketika ini. Sekiranya kita hanya menghasilkan sampah setakat yang kita guna sahaja (berdasarkan keperluan), mungkin tidak sebanyak itu.

“Selain itu, MBSP kini membelanjakan sehingga RM20 juta setahun untuk pengurusan sampah dan jumlah ini adalah sangat tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Vlog Zero Waste @Bazar Ramadan peringkat negeri anjuran Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang (GREW) di bazar Ramadan Seberang Jaya, semalam.

Program yang turut dihadiri Pengerusi GREW, Khou Jerome itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh.

Hadir menjayakan program berkenaan ialah lebih 40 pelajar sekolah menengah di seluruh Pulau Pinang yang menganggotai persatuan terbabit.

Difahamkan, menerusi program tersebut, GREW berharap dapat menyemai kesedaran dalam kalangan orang ramai berhubung penggunaan beg plastik secara berlebihan selain mengelak pembaziran makanan berterusan hingga menjurus kepada peningkatan jumlah penghasilan sampah setiap hari.

Dalam pada itu, Boon Poh memberitahu, pihaknya berhasrat memperluas penggunaan alat penapis sisa makanan di semua pasar awam sebelum penguatkuasaan sepenuhnya di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dilaksanakan dalam usaha mengurangkan penghasilan sampah.

“Memang ada cadangan untuk meletakkan alat penapis sisa makanan dan saya sedang berbincang dengan syarikat yang bertanggungjawab agar mereka dapat menghantar kertas cadangan (bagi pemasangan alat perangkap sisa makanan di pasar-pasar awam seluruh negeri) dengan segera,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya