SEREMBAN: Negeri Sembilan FC memperoleh kemenangan pertama musim ini apabila menewaskan Terengganu FC dengan keputusan 2-1 dalam aksi Liga Super, malam ini.
Berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, perlawanan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling menyerang bagi mencari gol pendahuluan.
Bagaimanapun, tuan rumah lebih awal mencetak jaringan menerusi sentuhan pemain import mereka, Levy Clement Madinda pada minit ke-28.
Sebelum masuk ke bilik persalinan, Terengganu memperoleh gol penyamaan hasil jaringan Adisak Kraisorn yang mengambil kesempatan situasi kelam kabut di hadapan gol Negeri Sembilan yang dikawal Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Memasuki separuh masa kedua, aksi terus sengit dengan pelawat mempunyai sekurang-kurangnya dua peluang terbaik untuk mendahului namun gagal menemui sasaran.
Hasil satu serangan balas, Negeri Sembilan berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-69 menerusi penyerang import mereka Casagrande yang menyudahkan hantaran Tommy Mawat.
Pada minit ke-87, penyerang, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi mempunyai peluang terbaik menambah gol buat tuan rumah namun percubaannya sekadar menggegarkan palang Terengganu.
Pelawat juga berusaha mencari gol penyamaan namun Negeri Sembilan kental bertahan sekali gus tiga mata penuh buat skuad Jang malam ini
Selepas mengharungi empat perlawanan, Negeri Sembilan kini mengutip lima mata manakala Terengganu kekal dengan empat mata selepas lima perlawanan.-UTUSAN