PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memulakan Projek Rintis Kluster Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Selangor sejak Sabtu lalu bagi mengurangkan kesesakan dan tempoh menunggu lama di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, projek itu termasuk pelanjutan waktu operasi Klinik Kesihatan Bandar Botanik yang kini beroperasi setiap hari bagi menangani kedatangan pesakit kategori zon hijau (mengalami gejala ringan dan kes bukan kecemasan) di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR.
“Klinik itu kini beroperasi bermula pukul 8 pagi hingga 9.30 malam, dengan waktu menerima pendaftaran pesakit terhad hingga 9 malam termasuk hari Kelepasan Am,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Dr. Zaliha mengumumkan pelaksanaan pelanjutan waktu operasi di klinik kesihatan tertentu di seluruh negara bagi mengurangkan kesesakan dan tempoh menunggu lama di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital.
Lanjutan operasi itu dibuat susulan gesaan oleh pucuk pimpinan kerajaan yang mahu isu kesesakan di hospital ditangani segera.
Pada masa sama, Dr. Zaliha berkata, Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali bersetuju supaya KKM melaksanakan projek rintis tersebut.
Menurutnya, beliau berharap pesakit yang hanya mempunyai gejala ringan atau kes bukan kecemasan tidak lagi berkunjung ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR, sebaliknya hadir ke Klinik Kesihatan Bandar Botanik mengikut waktu yang ditetapkan.
“Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR sepatutnya merawat kes kecemasan yang serius dan kritikal sahaja.
“Perubahan pola kedatangan pesakit dari Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital ke Klinik Kesihatan Bandar Botanik akan dipantau dalam tempoh pelaksanaan projek rintis ini berjaya,” katanya.
Pada 10 Mac lalu, KKM menerusi kenyataan memaklumkan pemanjangan Waktu Operasi Selepas Waktu Pejabat di 52 klinik kesihatan di seluruh negara bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan hospital.
Waktu operasi klinik itu dipanjangkan dari pukul 5 petang hingga 9.30 malam pada hari Isnin hingga Jumaat dan pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari pada hari Sabtu.
Terdahulu, pada majlis sama, Dr. Zaliha turut melancarkan Dokumen Carbon Neutral Healthcare Facilities Blueprint dalam usaha memacu KKM untuk menyediakan fasiliti kesihatan yang selamat, mesra alam sekitar, berdaya tahan dan kalis masa hadapan.
Beliau berkata, KKM mula melaksanakan pelbagai inisiatif lestari secara komprehensif semenjak 2015 melalui Program Kelestarian di hospital awam merangkumi elemen penarafan bangunan hijau, pengurusan tenaga, kualiti udara dalaman (IAQ) dan pengurusan sisa lestari melalui pendekatan Reduce, Reuse, Recycle (3R).
“Hasil pelaksanaan program ini sehingga Disember 2022, KKM berjaya mencapai penjimatan tenaga kumulatif sebanyak 696 GigaWatt-Jam (GWj) bersamaan dengan penjimatan kos utiliti sebanyak RM292 juta berbanding tanda aras tahun 2015 dan 2016 serta pengurangan pelepasan karbon dioksida melebihi 487,000 tan,” katanya. – UTUSAN