Kita boleh sentiasa bermimpi - Michelle Yeoh

Kita boleh sentiasa bermimpi – Michelle Yeoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENTAS Anugerah Akademi Ke-95 (Oscars 2023) mencatatkan sejarah paling gemilang apabila menobatkan pelakon kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh sebagai pemenang kategori Pelakon Wanita Terbaik. 

Michelle berjaya menewaskan empat calon lain iaitu Cate Blanchett, Ana de Armas, Andrea Riseborough dan Michelle Williams. 

Wanita berusia 60 tahun itu tampil anggun mengenakan persalinan berwarna putih dan jelas terpancar kegembiraan di wajahnya semasa menerima trofi di atas pentas di Dolby Theatre, Hollywood, California. 

Kemenangan itu dinilai berdasarkan lakonan hebat Michelle menerusi filem Everything Everywhere All At Once yang tampil berani dengan aksi seni beladiri. 

Watak Evelyn Quan Wang ternyata mendatangkan tuah buat dirinya selepas sah bergelar wanita Asia pertama yang meraih trofi berprestij tersebut.

Bintang yang dilahirkan di Ipoh, Perak itu juga merupakan wanita Asia pertama yang dicalonkan bagi kategori tersebut sekali gus melakar sejarah baharu dalam industri perfileman antarabangsa.  

Michelle mendedikasikan kemenangan paling manis kepada ibunya, Datin Janet Yeoh yang sentiasa disebut sebagai tulang belakang di sebalik kejayaan dirinya. 

“Saya akan bawa pulang trofi ini kepada ibu saya yang menonton anugerah ini di Kuala Lumpur bersama seluruh ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Kejayaan ini adalah tunjang harapan dan sebagai bukti kita boleh sentiasa bermimpi dengan impian yang besar, kerana mimpi juga akan menjadi kenyataan,” katanya semasa diberi peluang menyampaikan ucapan. 

DOMINASI

Majlis tahun ini juga menandakan kali pertama empat pelakon Asia bersaing dalam pelbagai kategori lakonan. 

Secara teknikalnya, pelakon, Merle Oberon yang berketurunan British dan Asia Selatan merupakan pemenang pertama bagi kategori itu pada 1935, menerusi filem The Dark Angel.  

Namun, Oberon menyembunyikan identitinya kerana bimbang diskriminasi di Hollywood ketika itu. 

Ana De Armas pula adalah pelakon dari Cuba pertama yang dicalonkan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi watak Marilyn Monroe dalam filem Blonde. 

Michelle juga merupakan wanita bukan kulit putih pertama yang memenangi kategori itu selepas dua dekad, sejak Halle Berry meraihnya pada 2022. 

Sebelum ini, Michelle meraih trofi pada beberapa acara anugerah termasuk Anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild Awards (SAG). 

Filem arahan Dan Kwan dan Daniel Scheinert turut mendominasi Oscars dengan menggondol tujuh anugerah termasuk Pengarah Terbaik, Suntingan Terbaik, Pelakon Pembantu Terbaik dan Lakon Layar Terbaik. 

REAKSI IBU 

“Malaysia boleh!” Itu reaksi ibu Michelle sejurus mengadakan panggilan video bersamanya selepas dinobatkan sebagai pemenang. 

Menerusi perbualan tersebut,  Michelle dilihat menunjukkan trofi gangsa bersalut emas 24 karat itu kepada ibu, ahli keluarga dan rakan-rakan yang nyata tidak dapat menahan rasa teruja mereka. 

Janet Yeoh berkata, dia berasa sangat gembira atas usaha keras anaknya selama ini yang membuahkan hasil sekali gus menjadi kebanggaan negara. 

“Saya tak terkata dan menangis gembira. Semuanya berlaku dalam keadaan pantas. Kami sangat gembira atas kemenangan itu. 

“Kami kerap yakinkan dia akan menang anugerah itu sebab dia adalah seorang  yang bekerja keras. Kita boleh lihat bagaimana dia berlawan dalam filem serta cara dia melakonkan watak itu,” katanya. 

Wanita berusia 84 tahun itu berkongsi kegembiraan bersama ahli keluarga dan selebriti jemputan semasa acara tontonan khas Oscar Ke-95 di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur. 

INFOGRAFIK: 

Filem Terbaik: Everything Everywhere All At Once (EEAAO) 

Pelakon Wanita Terbaik: Michelle Yeoh (EEAAO)

Pelakon Lelaki Terbaik: Brendan Fraser (The Whale) 

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Jamie Lee Curtis (EEAAO)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Ke Huy Quan (EEAAO) 

Pengarah Terbaik: Daniel Scheinert dan Daniel Kwan (EEAAO) 

Skrin Layar Terbaik: EEAAO 

Sinematografi: EEAAO 

Kostum Terbaik: Black Panther: Wakanda Forever

Filem Cereka Antarabangsa: All Quiet on The Western Front – Jerman 

Dokumentari Pendek: The Elephant Whisperers 

Runut Bunyi Terbaik: Naatu Naatu – filem RRR 

Kesan Khas Terbaik: Avatar: The Way of Water

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN