PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti permohonan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk membina bangunan baru badan induk itu yang bakal dibina di sekitar KL Sport City, Bukit Jalil.
Permohonan MOM itu berasaskan situasi semasa kedudukan bangunan sedia ada di Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur dilihat tidak lagi sesuai untuk semua pemegang taruh untuk berurusan, kerana kawasan sekelilingnya kini padat dengan sekolah dan bangunan komersial.
Justeru Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan permohonan MOM akan diteliti dan dibawa ke mesyuarat kabinet sebelum mendapat lampu hijau.
Pembinaan wisma baru ini tidak akan membebankan dana peruntukkan KBS, sebaliknya MOM akan bekerjasama dengan syarikat pemaju untuk melaksanakan pertukaran aset (land swap) antara tanah dimiliki MOM dengan tanah milik kerajaan di Bukit Jalil.
“Sekarang kita perlu lihat dahulu tanah projek (lokasi baharu di Bukit Jalil), selepas itu model dan diikuti dengan dana. Bagaimanapun, ia perlu kelulusan kabinet dan saya akan mengangkat kertas (cadangan) ke kabinet.
“Saya perlu maklum balas ini untuk melihat kepada fasiliti, sebarang kekangan apabila ditanya nanti sedang untuk difahami. Lagi pun di sini juga mempunyai galeri yang sebenarnya boleh diakses oleh orang awam, cuma lokasinya di sini sangat kecil.
“Dalam pada itu, sebagai ahli perlimen Wilayah Persekutuan saya melihat perkara ini juga perlu melihat Pelan KL City dan permohonan bangunan mengikut pelan berkenaan. Saya juga akan mengadakan perbincangan dengan ahli perlimen di kawasan Wisma MOM sekarang, jadi proses ini akan membabitkan semua pihak,” jelas Hannah ketika di sidang media sempena mengadakan lawatan ke Wisma MOM semalam.
Bagi presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria, bangunan baru badan induk itu nanti akan mengikuti model bangunan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Lausanne, Switzerland yang bertemakan mesra alam sekitar dan berteknologi hijau.
“Saya beranggapan bangunan MOM baharu di Bukit Jalil nanti akan menjadi satu monumen, satu kemegahan warga sukan negara kita. Ia juga untuk memodenkan persatuan sukan yang mempunyai pejabat di MOM dengan menyediakan pelbagai fasiliti asas (pejabat, bilik mesyuarat, bilik pentadbirian, muzium, pusat penyelidikan olimpik),” jelas Norza.
“Persatuan juga dalam masa sama boleh berjumpa dengan atlet mereka yang berada di persekitaran Bukit Jalil. Jadi kita melihat perkara ini untuk mengurangkan kos semua orang. Ia juga untuk elak daripada melakukan pembaziran dengan ada pusat sehenti,” katanya.
Bangunan Wisma MOM telah pun dibina pada 1991 dan menempatkan 14 persatuan sukan kebangsaan, tiga persatuan negeri serta Persatuan Penulis-Penulis sukan, Persatuan Olimpian Malaysia serta Persatuan Lumba Jalan Kaki.
Tanah bangunan ini yang berkeluasan 1.6 ekar mempunyai tempoh pajakan daripada pihak kerajaan selama 99 tahun sejak 1978 dan akan tamat pada 10 Ogos 2077. – UTUSAN ONLINE